Hala tuju KBS, MOM selari

Hannah (tengah) bersama Mohamad Norza (empat dari kanan) selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-203 di ABM, Bukit Kiara pada Selasa.
FOTO: FB OCM
Hannah (tengah) bersama Mohamad Norza (empat dari kanan) selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-203 di ABM, Bukit Kiara pada Selasa. FOTO: FB OCM
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bekerjasama sepenuhnya dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) demi kebajikan atlet negara bagi memastikan perancangan arena sukan tanah air berjalan lancar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berganding bahu dengan barisan kepimpinan MOM diketuai Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Saya telah meluahkan hasrat saya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan saya juga telah mendengar ucapan Tan Sri (Mohamad Norza)... sebenarnya apa yang kita (KBS, MOM) mahukan adalah sama.

“MOM dan KBS akan perjuangkan isu sama (kebajikan atlet negara), jadi lebih baik sekarang kita bekerjasama dengan erat untuk kita bangunkan (arena sukan) bersama dan ya... memang tiada masalah antara kami (KBS, MOM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-203 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim mencetuskan kenyataan kurang disenangi MOM dan persatuan sukan kebangsaan (NSA) biarpun tujuan asalnya adalah untuk membasmi penyelewengan dan korupsi dalam industri sukan negara.

Bagaimanapun, Hannah enggan memanjangkan isu tersebut, sebaliknya beliau komited untuk memperjuangkan nasib atlet selain memacu kecemerlangan sukan negara terutama menghadapi jadual padat pada 2023.

Pada masa sama, Hannah memberitahu, timbalannya itu tidak dapat hadir ke mesyuarat berkenaan kerana memberi tumpuan kepada bencana banjir di Kelantan dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan Bajet 2023 untuk belia dan sukan hanya akan diketahui selepas Parlimen selesai membentangkannya di Dewan Rakyat.

“Saya tak boleh katakan semua akan dikekalkan kerana bajet itu masih di peringkat parlimen belum diluluskan. Jadi mungkin akan ada peningkatan atau mungkin juga pengurangan.

“Tetapi secara keseluruhan kita hendak pastikan bajet itu tidak akan banyak terjejas kerana kita tidak mahu menganggu persiapan atlet menghadapi kejohanan yang akan datang,” jelasnya.

Dalam pembentangan Bajet 2023 pada Oktober lalu, kerajaan terdahulu telah memperuntukkan sebanyak RM322 juta bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara.