Audit: Kedudukan kewangan kerajaan Perlis 2021 stabil

Sidang DUN Perlis.
Sidang DUN Perlis.
A
A
A
KANGAR - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 1 mendapati kedudukan kewangan kerajaan Perlis bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 adalah stabil.

Menurut laporan itu, baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan kerajaan negeri pada akhir 2021 berjumlah RM38.24 juta, iaitu menurun sebanyak RM28.88 juta berbanding RM67.12 juta pada akhir 2020.

"Akaun Hasil Disatukan pada 2021 menunjukkan defisit semasa berjumlah RM23.16 juta. Defisit pada 2021 meningkat sebanyak RM4.17 juta berbanding defisit RM18.99 juta pada 2020.

"Kutipan hasil pada 2021 meningkat sebanyak RM0.32 juta atau 0.3 peratus menjadi RM114.02 juta. Bagaimanapun perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak RM4.49 juta menjadi RM137.18 juta,” menurut laporan tersebut.

Laporan tersebut menyebut Baki Pinjaman Boleh Dituntut meningkat sebanyak RM0.29 juta atau 0.3 peratus daripada RM107.39 juta pada 2020 kepada RM107.68 juta pada 2021.
Artikel Berkaitan:


Menurut laporan tersebut Tunggakan Bayaran Balik Pinjaman Boleh Dituntut meningkat sebanyak RM2.77 juta atau tiga peratus daripada RM91.17 juta pada 2020 kepada RM93.94 juta pada 2021.

"Jumlah hutang awam meningkat sebanyak RM12.39 juta atau 4.4 peratus menjadi RM291.73 juta berbanding RM279.34 juta pada 2020.

"Tunggakan bayaran balik hutang awam oleh kerajaan negeri meningkat sebanyak RM3.99 juta atau 2.2 peratus menjadi RM186.54 juta berbanding RM182.55 juta pada 2020,” menurut laporan tersebut. - Bernama