Sultan Perak ingatkan wakil rakyat jaga adab

Sultan Nazrin
Sultan Nazrin
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bahawa mereka mempunyai tanggungjawab memelihara kemuliaan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menjaga tingkah laku.

Titah baginda, persidangan DUN bukan tempat untuk mencari kesalahan sehingga masa perbahasan dibazirkan bercakap perkara-perkara picisan yang remeh temeh.

"Ahli-Ahli Dewan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kemuliaan Dewan ini, menjadikannya dewan syura yang penting lagi dihormati, membincangkan perkara-perkara yang substantif dalam adab dan budaya yang tertib lagi bersopan, tanpa perlu menggunakan kata-kata yang tidak sopan atau meninggikan suara.

"Dewan ini berperanan penting memenuhi peranan semak dan imbang kepada cabang eksekutif, membolehkan ahli-ahli menyuarakan teguran dan menyampaikan maklum balas mengenai program-program yang dilaksanakan oleh cabang eksekutif," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Jelas baginda, DUN merupakan sebuah institusi perundangan yang bertanggungjawab menimbang, membahaskan dan meluluskan enakmen negeri.

Titah baginda, masa perbahasan yang cukup perlu diberikan kepada ADUN-ADUN untuk dapat mengambil bahagian secara membina semasa perbahasan.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut meminta semua ADUN berada di barisan hadapan bagi membina persekitaran beragama dan berbudaya yang mencerminkan semangat keterangkuman serta saling menghormati antara kaum juga agama di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, tindakan tegas perlu diambil segera untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran serta membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.

Sehubungan itu baginda menyifatkan tindakan segera oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pasca pilihan raya mengambil langkah-langkah preventif untuk menjamin ketenteraman awam merupakan tindakan yang tepat.

Jelas baginda, persefahaman serta hubungan yang harmoni antara kaum merupakan faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman dan harmoni.

"Oleh yang demikian pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama, berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.

"Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan. Langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama," titah baginda.

Baginda bertitah, negara mahupun negeri yang aman dan harmoni akan dapat menumpukan usaha untuk menarik pelabur serta pelancong, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan negeri sekali gus melimpahkan kemakmuran kepada rakyat.

Titah Sultan Nazrin, penduduk di negeri Perak berjumlah 2.52 juta orang yang mengandungi tiga kaum terbesar iaitu 61.5 peratus Melayu dan bumiputera, Cina (26.7 peratus) dan India (11.3 peratus).

Jelas baginda, rakyat yang berbilang kaum tersebut mengamalkan pegangan agama yang berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa.

"Jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih menulis resipi untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik dan berpecah belah.

"Di sebaliknya, jika secara bijak perbezaan berjaya didandan dan dipintal, akan teranyam hamparan keharmonian yang indah lagi berwarna-warni," tidah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, terdapat banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit serta agama.