Semua murid terima bantuan awal persekolahan RM150 - PM

Kerajaan Perpaduan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid bermula Januari ini. - Gambar hiasan
Kerajaan Perpaduan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid bermula Januari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan Malaysia bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid bermula Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan itu melibatkan semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

“Dengan isu generasi tercicir ekoran kemelut pandemik yang baru berlalu, adalah penting untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.

Selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan dan pembelian buku teks, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan kerajaan setuju untuk menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bulan Januari ini.

Jelasnya, setakat ini telah membayar sebanyak RM600 untuk bulan November dan Disember kepada lebih 320,000 pekebun yang terlibat.

“Kerajaan akan terus memastikan kebajikan para pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: