Ayuh Harimau Malaya!

Barisan pemain Harimau Malaya selamat tiba di Yangon, Myanmar pada petang Isnin.
FOTO: FB FAM
Barisan pemain Harimau Malaya selamat tiba di Yangon, Myanmar pada petang Isnin. FOTO: FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran Harimau Malaya untuk melangkah sejauh yang mungkin pada kempen Piala AFF 2022 yang bermula Rabu ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman tidak menyatakan secara khusus bentuk sasaran tersebut, namun yakin dengan kemampuan Harimau Malaya untuk mencipta kejayaan.

“Sudah semestinya harapan kita memang tinggi dan akan berusaha sebaik mungkin. Saya yakin dengan kejurulatihan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan lain, malah semangat pemain nampak sangat tinggi.

“Insya-ALLAH, mereka akan mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum skuad Harimau Malaya berlepas ke Yangon, Myanmar pada pagi Isnin.

Selepas berdepan Myanmar di Yangon pada Rabu, Malaysia dijadualkan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Beliau berkata, barisan pemain muda dan baharu dalam skuad kebangsaan kali ini perlu menunjukkan prestasi terbaik bagi menggalas cabaran negara.

“Bagi FAM pula, kita sangat bertuah kerana mempunyai ramai pemain berkualiti untuk mewakili Harimau Malaya.

“Selepas kejohanan ini, kita akan serahkan kepada Pan-gon untuk menilai setiap pemain sebelum dibawa ke kejohanan lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengajak penyokong untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Harimau Malaya apabila skuad negara beraksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 12,000 keping tiket telah terjual dan mengharapkan stadium dapat dipenuhi penyokong tempatan pada perlawanan tersebut.

“FAM juga telah mendengar rintihan penyokong dan menurunkan harga tiket sebelum ini. Besar harapan kita agar penyokong dapat memenuhi stadium,” kata beliau.