Piala Dunia: Syabas buat Messi dan Argentina, kata Pele

Messi menjulang trofi selepas Argentina memenangi Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2022 antara Argentina dan Perancis di Stadium Lusail, Lusail, Qatar pada Ahad. - Foto EPA
Messi menjulang trofi selepas Argentina memenangi Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2022 antara Argentina dan Perancis di Stadium Lusail, Lusail, Qatar pada Ahad. - Foto EPA
A
A
A

LEGENDA bola sepak Brazil, Pele mengucapkan tahniah kepada Argentina selepas melakar kemenangan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 yang penuh mendebarkan dan menyifatkan kejayaan Lionel Messi sebagai detik bersejarah yang layak buat bintang itu.

Pele yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini, tetap memberi perhatian kepada acara di Qatar 2022 dan berkata kejayaan Argentina menjulang Piala Dunia, pastinya menggembirakan mendiang Diego Maradona, lapor Deutsche Presse-Agentur (dpa).

Momen itu sungguh bermakna buat bintang sensasi berusia 35 tahun itu kerana berjaya memenangi Piala Dunia sama seperti rekod yang dicipta rakan senegara Maradona yang membantu Argentina muncul juara di Mexico pada 1986. Maradona meninggal dunia pada November 2020 pada usia 60 tahun.

"Syabas Argentina! Pasti Diego sedang tersenyum sekarang," tulis Pele di Instagramnya.

Pele, 82, turut menyuarakan simpatinya kepada Kylian Mbappe yang kecundang meskipun mencipta hatrik menerusi dua sepakan penalti dan satu rembatan kencang, menyamai rekod pencapaian Geoff Hurst dari England ketika menentang Jerman Barat dalam edisi Piala Dunia 1966.

Argentina muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas terikat 2-2 pada masa sebenar sebelum seri 3-3 pada masa tambahan.

Messi menyumbat dua gol dalam perlawanan klasik itu.

Trofi Bola Emas menjadi milik Messi buat kali kedua manakala Mbappe yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, memperoleh Trofi Kasut Emas.

Artikel Berkaitan:

Pele turut memuji pencapaian Maghribi yang menduduki tempat keempat selain muncul sebagai pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir di kejohanan itu.

"Hari ini, bola sepak terus melakarkan kisahnya seperti biasa amat mempesonakan.

"Messi memenangi Piala Dunia pertamanya...Mbappe pula menjaringkan empat gol dalam perlawanan akhir...Dan saya mesti mengucapkan tahniah kepada Maghribi atas pencapaian luar biasa kali ini. Hebat melihat Afrika bersinar," kata Pele. - Bernama