Tiga beradik maut terkena renjatan elektrik

Jenazah tiga beradik perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak, Tumpat pada Isnin.
Jenazah tiga beradik perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak, Tumpat pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Tiga beradik perempuan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang ditenggelami air di Kampung Morak di sini pada Isnin.

Kejadian jam 12 tengah hari itu dikatakan berlaku ketika salah seorang daripada mereka tergelincir dan terpegang tiang pada garaj di sebuah rumah.

Jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 50, berkata, mangsa, Nurul Syazwani Mohd Nadzir, 33, yang merupakan seorang guru di sebuah tadika dipercayai telah memegang sebatang tiang sebelum jatuh ke dalam air banjir pada paras buku lali di hadapan rumah tersebut.

"Melihat Nurul Syazwani terjatuh, dua lagi mangsa iaitu Noor Fatihah, 27, dan Sakinah, 29, telah bergegas membantu kakak mereka dan dipercayai turut terkena renjata elektrik.

"Saya yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian terus bergegas meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi bantuan kecemasan," katanya kepada pemberita.

Menurut Nor, dia sempat bertegur sapa dengan ketiga-tiga beradik itu semasa mereka mengharung air banjir di hadapan rumahnya.

Ujarnya, dia terkejut selepas melihat ketiga- tiga beradik itu rebah ke dalam air selepas salah seorang daripadanya memegang tiang garaj berhampiran rumah.

"Difahamkan, terdapat sambungan dawai yang pecah sekali gus menyebabkan ada aliran elektrik pada tiang garaj terbabit.

“Saya sangat sedih melihat mayat mereka bergelimpangan di hadapan mata," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya ada menerima aduan berkaitan kejadian terbabit.
Artikel Berkaitan:


Menurut beliau, kesemua jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!