Dua beradik sesat di Bukit Pelindung ditemukan selamat

Mangsa mendapatkan rawatan.
Mangsa mendapatkan rawatan.
A
A
A

KUANTAN - Dua beradik wanita yang dilaporkan sesat selepas memasuki kawasan hutan di Bukit Pelindung, di sini petang tadi ditemukan selamat oleh orang awam malam ini.

Mangsa, Norul Baiyah Derahman, 29 dan Norfarah Hana Derahman, 22, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun keletihan.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mangsa dilaporkan datang ke Bukit Pelindung pada jam 5 petang dan mula memasuki trek laluan hutan pada jam 5.30 petang.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa gagal dihubungi ahli keluarga dan kami menerima panggilan kira kira jam 7.50 malam memaklumkan kehilangan mangsa.

"Kira kira jam 10.20 malam, Bilik Gerakan Kuantan telah dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa telah dijumpai dan kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapat rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mangsa ditemui di Bukit Pelindung oleh pasukan penyelamat kira kira 10.20 malam
Mangsa ditemui di Bukit Pelindung oleh pasukan penyelamat kira kira 10.20 malam

Mohd Noor berkata, kedua-duanya baru kali pertama ke kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Balai JBPM Bukit Ubi Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba, Kamerul Bieza Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kehilangan mangsa pada jam 8.38 malam.

Artikel Berkaitan:

"Kedua dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat di kawasan berbatu berhampiran kawasan air terjun," katanya.

Abang mangsa, Mohd Sabri Derahman, 30, dari Peramu Maju di sini berkata, dia dimaklumkan tentang kehilangan dua adiknya oleh kawan beliau, yang juga turut serta dalam pendakian tersebut.

"Adik-adik naik dengan seorang lagi kawan kami. Tapi masa tu dia dah jalan di depan dan selepas keluar dari hutan, kawan dapati dua orang adik tak keluar.

"Waktu tu dah gelap, dia terus telefon saya beritahu adik sesat. Saya dan adik beradik lelaki yang lain datang sini untuk mencari. Keluarga terutama mak bimbang keselamatan mereka.

"Namun Alhamdulillah mereka selamat. Terima kasih kepada PDRM, JBPM dan orang ramai yang membantu," katanya.