Kebakaran rumah panjang: Lebih 100 hilang tempat tinggal

No Image Caption
A
A
A

BINTULU - Lebih 100 penduduk daripada kira-kira 40 keluarga di Uma Bawang, Sungai Koyan, Sungai Asap di Belaga, hilang tempat tinggal apabila rumah panjang itu terbakar, petang tadi.

Kebakaran melibatkan dua blok rumah panjang dan sebuah rumah yang dijadikan gereja oleh penduduk di kawasan tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 6.03 petang, dan 11 anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, perjalanan ke tempat kejadian memakan masa kira-kira dua jam melalui Jalan Bintulu-Bakun.

“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua blok rumah panjang struktur tidak kekal dua tingkat membabitkan Blok D sebanyak 18 pintu, manakala 24 pintu dari Blok E terbakar seratus peratus,” katanya.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 7 petang oleh Pasukan Bomba Sukarela Uma Daro, Sungai Asap dengan kekuatan 45 anggota.

Beliau berkata, seorang wanita warga emas dikenali sebagai Huring Laing berusia 70 tahun, melecur di bahagian belakang badan dalam kejadian tersebut

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata setakat 10.45 malam ini, jumlah sebenar mangsa yang terlibat dan mengalami kecederaan akibat kebakaran tersebut belum diperoleh. - Bernama

Artikel Berkaitan: