Tanah runtuh: Mangsa doa disatukan dengan anjing kesayangan

Toni berharap anggota SAR dapat memberi perhatian terhadap keberadaan anjingnya dalam misi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.
Toni berharap anggota SAR dapat memberi perhatian terhadap keberadaan anjingnya dalam misi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.
A
A
A

BATANG KALI - "Saya faham dalam keadaan genting ini, apabila semua orang hanya memikirkan bahawa menyelamatkan nyawa dan menemukan mangsa sama ada hidup atau terkorban, adalah lebih penting, namun anjing peliharaan juga adalah ahli keluarga saya,” demikian luahan Toni Wong.

Wanita berusia berusia 40 tahun, mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Batang Kali, kelmarin, adalah pemilik Sherlock, anjing kacukan Schnauzer, berwarna kelabu dengan bintik hitam, yang hilang dalam insiden itu.

Bercakap kepada Bernama, Toni berkata, beliau bersama-sama rakannya Katherine Poh, 36, dan Eric Ng, 66, mendaftar masuk di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, tempat tragedi tersebut, pada jam 11 pagi, Rabu lalu, bersama anjing peliharaan masing-masing iaitu Sherlock, Bernice dan Benji.

"Kami semua amat seronok dan meluangkan masa beramah mesra dalam perkhemahan pertama kami sehingga kejadian mengerikan berlaku pada jam 2 pagi, Jumaat lalu.

"Apabila kejadian berlaku...saya tertimbus. Nasib baik, peserta perkhemahan bersebelahan datang membantu dan menarik keluar kami (Toni dan Katherine). Saya amat berterima kasih dan menghargai bantuan mereka kerana akhirnya kami mampu melarikan diri daripada khemah yang musnah teruk itu,” katanya menceritakan kisah mengerikan dalam satu-satunya pengalaman perkhemahan kali kedua buat dirinya.

Malangnya, katanya, ketika melarikan diri dari tapak perkhemahan, bimbang tentang satu lagi siri tanah runtuh yang boleh berlaku dalam sekelip mata, Eric, yang dia dakwa masih hilang, dilihat tertimbus dalam lumpur, yang menyebabkan mereka tidak dapat membantu dan mengaksesnya.

Pada mulanya, Toni, dari Petaling Jaya berkata, ketiga-tiga anjing itu selamat di sisi mereka semasa mereka bergegas ke tempat yang mungkin lebih selamat di bahagian air terjun di kawasan bawah.

"Kami bersama-sama dengan peserta khemah berjiran...macam sebuah keluarga besar yang kebetulan mempunyai seorang anak bersama mereka. Tetapi, semasa kami berkumpul di sana, kami mendengar bunyi yang sangat kuat dan ketika itu kami tahu tanah runtuh kedua sedang berlaku.

"Keletihan, kami berlari lebih jauh, ketakutan. Katherine membawa Benji, dan itulah kali terakhir kami lihat Bernice melarikan diri dan Sherlock tidak ditemui di mana-mana. Pada masa kami berhenti berlari apabila runtuhan tanah dipercayai berhenti...kami tidak dapat menjumpai dua anjing itu lagi," katanya.

Tidak berputus asa, mereka terus menjerit memanggil nama Sherlock dan Bernice, kacukan pudel keputihan berkrim, tetapi usaha itu sia-sia kerana suasana terlalu huru-hara dengan keadaan bunyi air terjun.

"Kemudian, seorang lelaki meminta kami perlu terus bergerak kerana lebih banyak tanah runtuh dijangka berlaku. Akhirnya, kami bertemu pasukan penyelamat dan kami dibawa ke tempat yang lebih selamat.

"Bagi anjing pula, kami sangat merindui mereka. Kami mahu membawa mereka pulang. Mereka sama pentingnya kepada kami. Mereka adalah sebahagian daripada ahli keluarga kami dan saya bertanggungjawab untuk membawa mereka pulang. Saya bertanggungjawab menjaga mereka," katanya.

Yakin bahawa anjing kesayangan mereka itu masih hidup dan selamat, Toni berharap anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) dapat memberi perhatian terhadap keberadaan anjing tersebut dalam misi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

Katanya, mereka menggunakan cara tersendiri untuk mengesan anjing kesayangan mereka termasuk mengiklankan dalam talian maklumat haiwan peliharaan yang hilang dan gambar serta nombor mereka untuk dihubungi.

"Saya harap pihak berkuasa atau sesiapa sahaja dapat membantu kami mencari penyelesaian untuk membawa anjing kami pulang ke rumah.

"Saya tahu adalah mustahil untuk mengakses tapak kejadian pada masa ini. Tetapi, jika seseorang boleh memberitahu kami cara terbaik, kami pasti akan memberi perhatian," katanya. - Bernama