Southgate kekal pengendali England

Southgate masih mendapat kepercayaan FA untuk terus membimbing England.
Southgate masih mendapat kepercayaan FA untuk terus membimbing England.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Inggeris (FA) mengesahkan Gareth Southgate kekal sebagai pengendali England sekalipun skuad kendaliannya tersingkir di peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

"Kami berbesar hati mengumumkan bahawa Gareth Southgate akan meneruskan tugas sebagai pengendali England dan akan memacu pasukan bagi kempen Euro 2024.

"Gareth dan (pembantu jurulatih) Steve Holland sentiasa mempunyai sokongan kuat daripada kami dan berada dalam perancangan untuk Euro bermula sekarang," kata Ketua Eksekutif FA, Mark Bullingham.

Minggu lalu, pengendali berusia 52 tahun itu berkata, dia mahu mengambil masa untuk membuat keputusan mengenai masa depannya selepas kekalahan kepada Perancis.

Dengan pengumuman terbaharu yang dibuat FA itu, Southgate kini akan kekal membimbing skuad The Three Lions sehingga Kejohanan Eropah (Euro) 2024.

England tidak memenangi kejohanan utama sejak kejayaan Piala Dunia pada 1966 tetapi di bawah kendalian Southgate, mereka mara ke separuh akhir edisi 2018 dan finalis Euro tahun lalu.