Fahmi selar tindakan Muhyiddin, Mas Ermieyati pertikai MoU

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil menyelar tindakan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berterusan menabur 'fitnah' terhadap kerajaan berhubung memorandum perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, serangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Ketua Srikandinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendakwa usaha yang dibuat kerajaan sebagai diktator adalah kemunafikan politik.

Sedangkan katanya, laungan diktator tidak dibangkitkan ketika PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

"Kami dalam PH memahami keperluan kestabilan kerajaan, maka itu antara sebab mengapa kami memilih untuk menandatangani MoU itu.

Inilah cara terbaik untuk mewujudkan kestabilan kerajaan pasca Parlimen tergantung, supaya kita boleh fokus selesaikan masalah rakyat terutama isu kos sara hidup serta memacu ekonomi untuk membangunkan Malaysia.

"Sudah-sudahlah menabur bibit pertikaian dan kebencian melampau. Kita move on, ketepikan politik, fokus khidmat bakti dalam apa jua jawatan yang dipegang, demi masa depan Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Tambah Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), MoU Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani pada 16 Disember lalu adalah langkah yang tepat untuk menunjukkan pimpinan faham apa yang mesti diusahakan dalam mewujudkan kestabilan.

Pada Jumaat, lima gabungan parti politik utama iaitu PH; Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak (GPS); Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani MoU di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Mou itu dimeterai Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, yang disaksikan semua pengerusi gabungan terlibat.

Antara syarat dalam dokumen perjanjian Kerajaan Perpaduan itu ialah mengikat mana-mana Ahli Parlimen yang gagal, enggan dan cuai untuk mengekalkan keabsahan Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam sebarang undian di Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka serta-merta.

Dokumen itu antara lain menjelaskan, setiap parti gabungan hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan keabsahan Kerajaan Persekutuan.