Banjir Terengganu makin buruk, penduduk diminta lebih waspada

(Gambar kecil: Hanafiah) Situasi banjir di Kampung Besut berikutan hujan lebat berterusan pada Ahad. - Foto Bernama
(Gambar kecil: Hanafiah) Situasi banjir di Kampung Besut berikutan hujan lebat berterusan pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Penduduk di kawasan berisiko dan terjejas banjir diminta supaya tidak panik dan sentiasa peka dengan amaran serta arahan pihak berkuasa.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat berkata, situasi banjir di negeri ini semakin buruk apabila enam daerah sudah mula dilanda bencana tersebut setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama sekali jika diminta untuk berpindah demi keselamatan semua.

"Banjir gelombang kedua ini seperti dijangka lebih buruk berbanding gelombang pertama awal bulan ini. Dalam tempoh 12 jam hanya dua daerah iaitu Marang dan Kuala Nerus yang belum dinaiki air.

"Orang ramai perlu lebih berwaspada kerana situasi ini dijangka berterusan hingga 22 Dis susulan ramalan taburan hujan lebat ekstrem yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, setakat ini semua urusan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah berjalan lancar.

Malah beliau amat berpuas hati dengan komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh agensi penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurutnya, setakat ini semua keperluan termasuk makanan, khemah dan keperluan asas di PPS mencukupi kerana persiapan awal sudah dilakukan sebelum musim Monsun Timur Laut (MTL).

"Semua pihak menjalankan tugas dengan cekap, tiada rungutan kami terima daripada mangsa dari segi pemindahan, agihan makanan dan barangan keperluan," ujarnya. - Bernama
Artikel Berkaitan: