Pasukan Afrika mampu julang Piala Dunia - Regragui

Regragui percaya pasukan dari benua Afrika mampu memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi. - Foto AFP
Regragui percaya pasukan dari benua Afrika mampu memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi. - Foto AFP
A
A
A

KEJAYAAN Maghribi mara ke kelompok empat pasukan terbaik Piala Dunia Qatar 2022 memberi petanda positif buat benua Afrika.

Jurulatihnya, Walid Regragui percaya pasukan dari benua Afrika akan memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi.

Maghribi yang menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia, tewas 2-1 dalam penentuan tempat ketiga kepada naib juara 2018, Croatia.

Piala Dunia seterusnya pada tahun 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bakal dilebarkan kepada 48 pasukan.

Justeru benua Afrika bakal mempunyai sembilan slot - daripada lima ketika ini.

"Menerusi sembilan pasukan, kami akan dapat belajar. Dalam 15 atau 20 tahun, saya pasti pasukan Afrika akan memenangi Piala Dunia kerana kami sudah mempelajarinya.

"Kami mempunyai peringkat untuk dilalui. Kami perlu bermula dari situ dengan kerja keras dan keazaman. DNA ini bukan saja dibina untuk Maghribi, tetapi seluruh benua," ujar Regragui.

Maghribi menjuarai peringkat kumpulan yang turut dibarisi Croatia dan Belgium, sebelum menewaskan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke pusingan empat terbaik.

Artikel Berkaitan:

Pengembaraan mereka tamat di separuh akhir selepas kalah kepada juara bertahan, Perancis, tetapi Regragui menggesa pemain-pemainnya menebus kekecewaan itu di Piala Negara-Negara Afrika tahun depan.

"Saya beritahu para pemain di bilik persalinan, jika anda mahu melakar sejarah, anda perlu memenangi Piala Negara-Negara Afrika. Kita perlu menguasai benua kita," katanya.

Maghribi hanya pernah menjuarai kejohanan itu pada tahun 1976, tetapi persembahan mereka di Piala Dunia membuktikan kebangkitan di bawah kendalian Regragui yang hanya dilantik sejak Ogos lalu.