Tanah runtuh: Tumpu usaha SAR, selepas itu siasatan - KPN

Acryl Sani - Foto Bernama
Acryl Sani - Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Siasatan terhadap pengurus yang mengendalikan tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali di sini akan dilakukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di lokasi itu berakhir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tumpuan utama pihaknya ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat baki sembilan mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.

"Peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengurus lelaki terbabit.

"Sepatutnya individu itu tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor hari ini.

"Dia memohon maaf kerana belum hadir disebabkan IPD terletak jauh dari lokasi dia berada, dan akan datang dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.

Acryl Sani berkata, siasatan kes itu juga akan dilaksanakan selepas segala maklumat diperoleh.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

"Siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengarahkan pihak polis terutama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Operasi SAR supaya sentiasa mengemas kini setiap perkembangan di lokasi kejadian kepada pihak media.