Kampung Budaya Terengganu terima anugerah pelancongan

Kampung Budaya Terengganu (KBT) dinobatkan sebagai penerima anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.
Kampung Budaya Terengganu (KBT) dinobatkan sebagai penerima anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kampung Budaya Terengganu (KBT) terus diiktiraf dalam industri pelancongan apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima anugerah Program Pelancongan Kebudayaan Terbaik oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Santai Travel Magazine.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis sempena Anugerah Industri Pelancongan Malaysia Tourism di Kuala Lumpur, pada malam Jumaat.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, ia merupakan anugerah kedua diterima KBT tahun ini.

"Sebelum ini KBT pernah menerima Anugerah Emas bagi kategori pusat pelancongan kebudayaan baharu sempena Majlis Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia yang diadakan di Sarawak pada 22 Oktober lalu.

"Anugerah ini diharap akan melonjakkan lagi industri pelancongan di Terengganu sekaligus meningkatkan motivasi penggiat industri untuk terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong yang datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Tan Sri Dr Ong Hong Peng itu menyaksikan sebanyak 60 anugerah disampaikan kepada individu, agensi kerajaan dan penggiat industri pelancongan dan perhotelan negara.

Turut menerima anugerah adalah Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (Program Pelancongan Pendidikan Terbaik), Primula Beach Hotel (Best 4 Star Eco Green Beach Front Hotel) dan Summer Bay Lang Tengah Island Resort (Aktiviti Pelancongan Resort Pulau Terbaik).

KBT yang terletak di Kompleks Muzium Negeri, Losong di sini, mula dibuka pada awal September 2020 dan dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah perkampungan budaya yang mempunyai pelbagai tarikan yang berkonsepkan muzium hidup untuk menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan dari kesemua lapan daerah di negeri Terengganu.

Pelancong yang datang bukan sahaja berpeluang menikmati pengalaman percutian bersejarah dengan latar belakang suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu tradisional malah boleh melihat secara dekat demonstrasi aktiviti tradisi yang diusahakan penduduk tempatan di KBT.