Taktik licik sindiket kenderaan klon

Sindiket dikesan menjanjikan cukai jalan serta geran kereta asli sedangkan ia tidak pernah dikeluarkan oleh JPJ.
Sindiket dikesan menjanjikan cukai jalan serta geran kereta asli sedangkan ia tidak pernah dikeluarkan oleh JPJ.
A
A
A

KENDERAAN mewah di negara jiran yang hampir tamat Sijil Pemilikan Kenderaan (COE) menjadi sasaran sindiket untuk diklon sebelum dijual di Malaysia.

Dipercayai, sindiket mengumpan pemilik kenderaan mewah di negara terbabit yang terbeban dengan kos tinggi bagi memperbaharui COE.

COE merupakan permit pemilikan yang mana ia perlu diperbaharui setiap lima atau 10 tahun.

Sinar Harian difahamkan kegiatan itu turut beroperasi dengan menggunakan dokumen-dokumen palsu.

Mendedahkan hal itu, Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, sindiket dipercayai membawa masuk kenderaan mewah itu dari negara jiran untuk dijual secara haram.

“Sindiket menyasarkan kenderaan mewah yang mana Sijil Pemilikan Kenderaan(COE) hampir tamat tempoh dan mereka dikesan menggunakan dokumen-dokumen palsu,” katanya.

Lokman
Lokman

Kata beliau, sindiket terbabit memujuk pemilik kenderaan untuk menjual kereta mereka disebabkan kos pembaharuan COE yang tinggi di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sindiket itu kemudian membeli kenderaan mewah tersebut dan dibawa masuk ke negara ini sebelum disembunyikan di lokasi tertentu terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Golongan muda jadi sasaran sindiket

Lokman berkata, kereta klon itu dijual antara S$3,000 (RM9,700) hingga S$5,000 (RM16,000) bergantung tahun dan jenis kenderaan itu dikeluarkan.

“Dengan harga yang murah, sekali gus kenderaan klon terdiri seperti jenama BMW, Lexus, Mercedes, Honda dan Toyota menjadi pilihan.

“Selain itu, pembeli juga diperdaya kononnya kenderaan klon yang dijual ini lengkap dengan pendaftaran yang sah walhal perkara sebenar berlaku sebaliknya,” katanya.

Jelas beliau, golongan muda antara menjadi sasaran sindiket tersebut.

AES, RCVEP bantu kesan kenderaan klon

Menurut Lokman, kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dapat membantu JPJ mengesan sekiranya kenderaan yang dirakam itu klon atau sebaliknya.

“Kebanyakan penguatkuasaan yang kita jalankan melibatkan kenderaan klon ini adalah dengan adanya kamera AES bagi mengesan sesebuah kenderaan itu merupakan kenderaan klon.

“Apabila sesebuah kenderaan itu didapati melanggar peraturan jalan raya, kita akan semak nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

“Dari situ kita boleh kesan nombor pendaftaran itu tidak sama dengan nombor pendaftaran yang terdapat dalam sistem,” kata beliau.

Ujarnya lagi, sistem Road Charge Vehicle Entry Permit (RCVEP) turut digunakan di pintu masuk negara di Johor bagi mengesan kenderaan luar yang dibawa masuk ke negara ini.

Sistem Road Charge Vehicle Entry Permit (RCVEP) juga antara kaedah yang digunakan bagi mengesan kewujudan kenderaan klon.
Sistem Road Charge Vehicle Entry Permit (RCVEP) juga antara kaedah yang digunakan bagi mengesan kewujudan kenderaan klon.

“Rekod RCVEP melibatkan kenderaan yang berada di negara ini untuk tempoh melebihi dua bulan.

“Apabila kenderaan itu berada di negara ini untuk tempoh lama, terdapat kemungkinan ia dijadikan kenderaan klon dan dari situ kita akan jalankan operasi untuk mengesannya,” katanya.

Guna media sosial

Tambah Lokman, antara taktik sindiket yang sering digunakan sindiket bagi menjual kenderaan klon adalah penggunaan platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan aplikasi jualan kenderaan.

Ujarnya, pemantauan sering dijalankan melibatkan medium media sosial.

“Kita pantau dan akan laksanakan operasi besar-besaran untuk menahan dan mencari pemilik kenderaan klon.

“Kepada pemilik yang mengesyaki kereta mereka adalah klon, anda boleh serahkan kenderaan itu kepada JPJ. Sekiranya individu berdegil membeli kenderaan klon, kita akan tahan dan dakwa di mahkamah,” katanya.

Amaran JPJ

Tegasnya, kenderaan klon yang dirampas akan disita dan pemiliknya akan dikenakan tindakan tegas.

“Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 7(1), Seksyen 108 (3), Seksyen 90 (2) dan Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Jelas beliau, untuk Selangor sahaja, sebanyak 329 tangkapan kes kenderaan klon direkodkan sejak 2011 menerusi Operasi Khas Kenderaan Klon.

“JPJ Selangor juga melaksanakan Pelupusan Kenderaan Klon melalui lelongan awal pada 2019 dengan penjualan 234 kenderaan.

“Bagi tahun 2022 sahaja, sebanyak 46 kenderaan pelbagai jenis serta model dilelong, sekali gus menyumbang kutipan hasil kepada kerajaan sebanyak RM4.69 juta,” katanya.

Bergaya tak lama dengan kereta klon

"HANYA kerana mahu nampak mewah, saya sanggup beli kereta klon"

Itu kata individu yang mahu dikenali sebagai Halim apabila dia berjaya memiliki sebuah kenderaan jenis Volkswagen Passat pada usia 30-an.

Menurut Halim, dia membeli kereta berjenama itu pada tahun 2017 menerusi media sosial disebabkan keinginan yang membuak dan menjadi minatnya sejak sekian lama.

"Saya lihat iklan berkaitan jualan kenderaan berjenama dengan harga yang rendah di media sosial.

"Jadi saya terus hubungi individu yang memuat naik iklan tersebut sebelum diminta memilih kenderaan yang saya mahukan sebelum berjaya membelinya dengan harga kira-kira RM30,000 iaitu jauh lebih murah daripada harga pasaran sebenar," katanya.

Tambahnya, proses pembeliannya hanya mengambil masa sekitar dua minggu dan penjual menjanjikan geran dan cukai jalan yang sah, walhal sebaliknya.

"Tapi kerana terlalu lama ingin memiliki kenderaan berjenama itu, saya terus mempercayai apa yang dijanjikan," katanya.

Ujarnya, dia bagaimanapun ditahan dalam satu sekatan jalan raya yang dijalankan JPJ.

"Masa itu saya dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, jadi masa sekatan tersebut kereta yang saya pandu itu ditahan anggota JPJ bertugas sebelum kenderaan disita dan saya berdepan tindakan undang-undang.

"Memang masa itu, saya tak mampu berfikir, rasa menyesal sangat sebab beli kenderaan klon ini," katanya.

Memiliki kenderaan klon satu bentuk penganiayaan

MEMILIKI kenderaan klon disifatkan sebagai satu bentuk penganiayaan kepada pemilik kenderaan asal.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, pemilik kenderaan asal adalah individu yang akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya pengguna kenderaan klon ini melanggar peraturan khususnya peraturan jalan raya.

"Pengguna kenderaan klon ini harus ingat, mereka telah lakukan satu bentuk penganiayaan kepada mereka yang tidak bersalah.

"Pemilik kenderaan asal yang terpaksa menanggung akibat sekiranya pengguna kenderaan klon ini didapati melanggar peraturan, ia merupakan sesuatu penindasan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jangan disebabkan mahu tampak mewah, kita telah menidakkan hak orang lain hingga menyusahkan orang lain.

Katanya, pengguna kenderaan klon sememangnya tiada perlindungan insurans yang sah disebabkan kenderaan klon itu sendiri menggunakan cukai jalan yang palsu.

Jelas Tengku Ahmad Marwan, keadaan ini pastinya melibatkan risiko yang tinggi terutamanya apabila pengguna kenderaan klon ini terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Memang tiada insurans yang sah, jadi kalau kemalangan, memang tiada sebarang perlindungan.

"Sekali gus, pengguna kenderaan klon ini tidak dapat buat sebarang tuntutan, malah mungkin berdepan risiko tindakan undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa.

"Sebaiknya ukur baju di badan sendiri, biarlah pakai kereta biasa, asalkan tindakan kita tidak memberikan kesan buruk kepada mana-mana pihak," katanya.

Berita penguatkuasaan melibatkan kenderaan klon

03 FEB 2022

Iklan di media sosial, sindiket jual kereta klon makin berani

SEREMBAN – Sindiket kereta klon kini semakin berani apabila secara terbuka menggunakan platform media sosial untuk mengiklankan kenderaan berkenaan bagi menarik pembeli.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, cara itu dilihat lebih mudah memperdaya mangsa terutama peminat kenderaan mewah.

"Jika dulu sindiket ini buat secara senyap, tapi sekarang mereka iklankan di Telegram dan Facebook yang mana ia lebih mudah diakses orang ramai.

"Lagipun permintaan kenderaan klon ini sentiasa ada dan pembeli sanggup membelakangkan undang-undang asalkan dapat kereta impian dengan harga lebih rendah," katanya ketika sidang akhbar di JPJ Seremban di sini.

06 OCT 2020

Penjawat awam miliki kereta klon berdepan tindakan tatatertib

KOTA BHARU - Mana-mana penjawat awam yang berani melanggar undang-undang dengan melakukan kesalahan menggunakan atau memiliki kereta klon dari Singapura akan dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihak JPJ akan melaporkan rekod kesalahan penjawat awam tersebut kepada pihak atasan di jabatan mereka supaya tindakan itu dapat dilaksanakan.

"Sekiranya mereka didapati bersalah di mahkamah, kita akan laporkan kepada jabatan mereka dan jabatan itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerana kesalahan memandu atau memiliki kereta klon.

"Kami memandang serius isu ini dan tidak mahu sesiapa sahaja mahupun penjawat awam terbabit dengan kes kereta klon,” katanya kepada pemberita pada program Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Kelantan Siri 1/2020 di Pejabat JPJ Kelantan Panji di sini.

13 DIS 2022

RC, VEP dilaksanakan di sempadan Thailand

SEPANG - Caj Jalan(RC) dan Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan dilaksanakan di sempadan Thailand dalam tempoh masa terdekat bagi membanteras kegiatan kereta klon yang dibawa masuk dari negara jiran berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Malaysia, Datuk Zailani Hashim berkata, pelaksanaan kedua kaedah tersebut disifatkan berkesan dalam mengatasi masalah berkaitan isu melibatkan kereta klon.

"RC dan VEP yang selama ini dilaksanakan di dua pintu sempadan dengan Singapura berjaya mengekang kemasukan kereta klon dari republik itu.

"Kedua sistem ini diperkenalkan sejak 2019 lalu sekaligus memastikan kenderaan asing balik ke negara mereka selepas tempoh tertentu," katanya.

Sindiket Klon

Kenderaan klon didefinisikan sebagai mana-mana kenderaan motor yang digunakan di atas jalan raya atau mana-mana premis yang menyerupai kenderaan motor yang lain (berdaftar) dari segi jenis, buatan, model dan nombor pendaftaran.

Kereta klon menggunakan sama ada cukai jalan yang dipalsukan atau salinan cukai jalan kenderaan asal.

Sindiket memperdaya mangsa yang terdiri daripada golongan muda dengan mempromosi kenderaan klon menerusi media sosial seperti Telegram, Facebook, WeChat dan aplikasi jualan kenderaan secara talian.

Pemilik kenderaan klon didapati tiada perlindungan insurans, dan sekaligus akan memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada individu itu sendiri malah keluarga.

Tindakan tegas bukan sahaja kepada sindiket sekiranya tertangkap malah kepada pemilik kenderaan klon. Sekiranya tertangkap kenderaan klon yang dimiliki akan dirampas selain individu tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang.