Tiada lagi Langkah Sheraton, 'kerajaan tebuk atap'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - Perjanjian persefahaman kerjasama yang ditandatangani melibatkan lima gabungan politik di bawah Kerajaan Perpaduan beri jaminan bahawa tiada lagi 'Langkah Sheraton'.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil turut menambah, insiden 'kerajaan tebuk atap' yang pernah berlaku sebelum ini juga tidak akan berulang.

“Tidak lagi sebab kita kena baca dua perkara bersekali iaitu satu dokumen yang ditandatangani hari ini bersekali dengan apa yang kita usahakan pindaan kepada perlembagaan melarang ahli dewan rakyat bertukar parti,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan, di Bangunan Perdana Putra, di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Digital menyifatkan bahawa ia adalah satu detik sejarah dan menjadi satu titik noktah kepada proses pembentukan kerajaan yang tergantung sebelum ini.

“Alhamdulillah hari ini kita menjadi saksi momen bersejarah apabila parti-parti gabungan telah menandatangani satu memorandum persefahaman dan secara rasminya menubuhkan satu Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Pemeteraian perjanjian ini secara tidak langsung memberi jaminan bahawa insiden 'kerajaan tebuk atap' tidak akan berulang kerana kita kena baca dua perkara bersekali iaitu satu dokumen yang ditandatangani bersekali dengan apa yang kita usahakan iaitu pindaan kepada perlembagaan yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya.

Menurut Fahmi, pemeteraian tersebut merupakan satu signal yang baik dan beliau menjangkakan Sidang Khas Parlimen pada Isnin berjalan dengan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Seperti yang dapat kita lihat hari ini, hubungan baik dan akrab kepimpinan tertinggi parti-parti politik merupakan signal jelas kepada fokus kita untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Hubungan erat yang dapat kita lihat ini juga akan menjamin satu kestabilan untuk membantu memacu ekonomi negara demi kemakmuran bersama,” katanya.