'Tidak tenang selagi tidak jumpa anak'

Ah Choe menunjukkan gambar anak perempuannya yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Jumaat.
Ah Choe menunjukkan gambar anak perempuannya yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - "Saya tidak tenang selagi anak tidak dijumpai"

Itu harapan seorang wanita warga emas, Tan Ah Choe, 66 yang berharap agar anak perempuannya, Hong Mei Jing, 38 dapat ditemui selamat dalam tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Jumaat.

Menurut Ah Choe, dia hanya diberitahu kejadian itu pagi tadi daripada rakannya yang memaklumkan berlaku tanah runtuh di Batang Kali.

"Rakan saya beritahu ada tanah runtuh di Batang Kali. Saya segera hubungi polis untuk mengesahkan kejadian itu.

"Saya kemudian terus bergegas bersama seorang anak saya ke sini (Balai Polis Hulu Yam Bharu) untuk mendapatkan perkembangan terkini," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Tambah warga emas yang menetap di Jinjang, Kuala Lumpur itu, dia amat berharap anaknya dijumpai dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Tapi, sehingga kini dia (mangsa) masih di lokasi dan belum ditemui. Saya risau dan harap dapat bertemu Mei Jing," ujarnya.

Katanya lagi, dia juga dimaklumkan Mei Jing yang juga guru sekolah datang berkhemah di lokasi itu bersama rakan guru yang lain.