[VIDEO] Tanah runtuh: Tiada rekahan jalan di kawasan terlibat - Nanta

Keadaan kenderaan- kenderaan mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi)
Keadaan kenderaan- kenderaan mangsa di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali pada Jumaat. - Foto Bernama (Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada rekahan terbuka pada turapan permukaan (pavement) jalan di laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Hulu Selangor yang terlibat dengan insiden tanah runtuh awal pagi ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kejadian tanah runtuh pada kira-kira jam 2.42 pagi Jumaat melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter (m) dan setinggi 70m.

"Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Nanta berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian termasuk Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia yang berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima. Kementerian Kerja Raya dan JKR akan sentiasa prihatin keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya,” katanya.

Beliau berkata, Jalan B66 Batang Kali-Genting Hulu Selangor kini ditutup atas arahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk keselamatan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif ketika ini iaitu menerusi Jalan Ulu-Yam Batu Caves ke Gombak dan menuju ke KLK untuk sampai ke destinasi akhir iaitu, Genting. - Bernama

Artikel Berkaitan: