Banjir: Penduduk terpaksa ulang-alik periksa rumah

Penduduk terpaksa menggunakan perahu apabila Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang di Padang Licin, Rantau Panjang masih ditenggelami banjir.
Penduduk terpaksa menggunakan perahu apabila Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang di Padang Licin, Rantau Panjang masih ditenggelami banjir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Banjir yang belum pulih memaksa penduduk yang menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) Padang Licin di sini mengambil risiko meredah banjir dengan berulang-alik memeriksa kawasan rumah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk menggunakan perahu memeriksa rumah masing-masing sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang.

Suri rumah, Nisah Mohamad, 48, berkata, dia dan mangsa banjir lain terpaksa berbuat demikian kerana bimbang jika rumah diceroboh kerana sudah seminggu mereka berada di PPS.

"Lebih mengeruhkan lagi situasi apabila sekarang ini cuaca tidak menentu, hujan berserta ribut sehingga merisikokan rumah kami.

"Beberapa keping atap zink rumah saya telah diterbangkan ribut. Kalau tidak balik ke rumah memang saya tidak akan tahu tentang kejadian itu," katanya.

Menurut dia, setiap kali hujan mereka akan rasa gelisah memikirkan nasib yang akan menimpa.

Ujarnya, memikirkan air banjir yang tidak surut sudah merisaukan apatah lagi jika hujan dan ribut.

Nisah berkata, banjir kali ini merupakan kali ketiga dia dan suami serta tiga anak berusia lapan hingga 22 tahun perlu berpindah ke PPS.

Artikel Berkaitan:

Bagi Rodiah Ismail, 55, berkata, dia hanya mampu reda dengan ujian yang dilalui itu walaupun banyak harta-benda yang rosak.

Rodiah (kiri) mengisi masa di PPS dengan bertanyakan khabar antara satu sama lain.
Rodiah (kiri) mengisi masa di PPS dengan bertanyakan khabar antara satu sama lain.

"Sudah seminggu di PPS, masa yang terluang ini diisi dengan bertanyakan khabar antara satu sama lain.

"Sebelum ini masing-masing sibuk dengan tugasan harian, apabila semua dikumpulkan di satu tempat, dapatlah kami bersua," katanya.

Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Pasir Mas, Kapten Mohd Arif Mohd Zain berkata, air Sungai Golok menunjukkan trend menurun dan berada pada paras amaran iaitu 8.49 meter pada jam 12 tengah hari.

Menurut beliau, seramai 2,006 mangsa banjir daripada 632 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Rantau Panjang.

"Sebanyak sembilan buah kampung masih ditenggelami banjir iaitu Tersang, Bendang Parol, To' Deh, Serongga, Padang Licin, Putat Tujuh, Tasek Bakong, Jeram Perdah, Kubang Pak Hitam dan Sapi.

"Manakala empat jalan masih ditutup iaitu Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang, Jalan Tok Deh-Gual Periok, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang-Jeram Perdah dan Jalan SK Gual To'Deh," katanya.