22 mangsa tanah runtuh masih hilang

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih giat dijalankan. - Foto JBPM
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih giat dijalankan. - Foto JBPM
A
A
A

BATANG KALI - Seramai 22 mangsa masih hilang dalam tragedi tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Jumaat.

Memetik kenyataan di Facebook rasmi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), setakat jam 11.41 pagi, jumlah mangsa yang terlibat seramai 94 orang.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih giat dijalankan," katanya.

Tambahnya, keanggotaan JBPM membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting, BBP Selayang, BBP Shah Alam, BBP Damansara, BBP KLIA, BBP Petaling Jaya, BBP Pandan, BBP Ampang, BBP Kajang dan BBP Andalas.

Katanya, turut terlibat Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Bomba, Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur.

Bomba dilaporkan menerima panggilan kecemasan kejadian tanah runtuh itu pada jam 2.24 pagi.

Kejadian tersebut telah berlaku di tepi jalan berhampiran Father's Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.

Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seramai 13 mangsa disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan di Batang Kali setakat jam 11 pagi Jumaat.