Pendaftaran program ACE kini dibuka, sasar golongan belia

A
A
A

Selain mendalami pengetahuan di dalam bidang pembinaan, peserta program ACE turut menjalani latihan melibatkan pengurusan perniagaan.
Selain mendalami pengetahuan di dalam bidang pembinaan, peserta program ACE turut menjalani latihan melibatkan pengurusan perniagaan.



SHAH ALAM - Pendaftaran bagi pengambilan program Accelerator Programme For Construction Entrepreneurs (ACE) bagi sesi 2/2022, kini telah dibuka dan menyasarkan belia dari seluruh negara yang berkelayakan menyertainya.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam satu kenyataan berkata, program itu akan melibatkan peserta yang terdiri daripada dua kategori iaitu kontraktor Gred G1-G4 dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pembinaan.

“Antara objektif program ACE ialah membangunkan golongan usahawan pembinaan atau kontraktor bumiputera yang berpengetahuan dan kompeten.

“ACE juga menyediakan latihan berstruktur yang melibatkan latihan kompetensi dan pengetahuan mengenai pengurusan perniagaan dan projek pembinaan,” jelas kenyataan itu.

ACE merupakan inisiatif kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan kerjasama CIDB di bawah Pelan Belanjawan Negara 2022 khusus kepada graduan dan kontraktor belia bumiputera gred G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan ‘On the Job Training’ (OJT).

Menurut kenyataan itu, peserta terpilih perlu menjalani latihan komprehensif berstruktur selama 2.5 bulan, mereka akan diberi pelbagai latihan untuk meningkatkan jati diri, motivasi, pengetahuan keusahawanan serta pelbagai latihan berkaitan pengurusan projek.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

“Peserta akan menjalani latihan kompetensi kemahiran (Sijil Kompetensi Kemahiran Kontraktor- SKKP CIDB) dan kursus pengkhususan kontraktor (Sijil Kecekapan Pengurusan – SKP CIDB) yang bersesuaian dengan ‘profiling’ mereka dan suai padan projek sebenar.

“Terdapat tujuh modul teras yang dikenal pasti akan dilaksanakan dalam program ini seperti Program Induksi dan Jati diri, Modul Wajib Kontraktor, Modul Keusahawanan dan Modul Teknologi dan Kualiti Pembinaan.

“Modul kelima pula ialah Modul Penyeliaan dan Pengurusan, Modul Pengkhususan Kontraktor - SKP CIDB dan Modul Kompetensi Kemahiran Tred – SKKP CIDB.

“Dalam latihan yang diberikan kepada setiap peserta, pendedahan akan diberikan kepada amalan terbaik dan pendekatan pengurusan kerja atau projek semasa di dalam industri,” katanya.

Sementara itu, tenaga pengajar atau penceramah yang dipilih terdiri daripada pemain industri yang berpengalaman dan ‘subject matter experts’ (SMEs) dalam bidang masing-masing. Latihan dijalankan secara dua hala dan ia turut dijadikan platform perbincangan.

Topik seperti penyediaan kontrak, pengurusan projek, pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan, teknik promosi kini dan pengurusan fasiliti juga akan dibincangkan.

“Pertemuan dengan badan sokongan pembangunan usahawan dan agensi kewangan juga diaturkan. Peserta dinilai sebelum dan selepas program untuk mengenal pasti peningkatan kefahaman mereka,” jelas kenyataan itu.

No Image Caption

MOF telah mengenal pasti kementerian atau agensi yang akan menamakan projek (Carved-Out Projects) di bawah bahagian masing-masing dan projek ini akan menjadi ‘training-ground’ kepada peserta ACE.

Selain CIDB sebagai rakan strategik, ia turut melibatkan MOF, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, ACE menyasarkan untuk melahirkan usahawan pembinaan generasi baharu yang mempunyai ciri-ciri seperti berpengetahuan, mempunyai pendedahan ‘hands-on’, sijil kompetensi yang berkaitan dan semangat daya saing yang tinggi.

Ciri-ciri lain ialah profesional, berintegriti, selesa dengan digitalisation / IOT dan kebolehan komunikasi serba boleh.

Pengambilan peserta dilaksanakan secara berperingkat dan sesi pengambilan 1/2022, terdapat tiga kohort peserta di tiga pusat iaitu di Wilayah Utara, Tengah dan Timur melibatkan 59 peserta.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai program ACE sesi 2/2022 boleh melayari laman sesawang www.aceprogramme.my Instagram: @programace FB: @ programace.