Cubaan seludup rokok putih, minuman keras tumpas

Aidid (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian rokok putih dan minuman keras yang dirampas menerusi serbuan berasingan di sebuah gudang di Rawang dan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Oktober dan November lalu.
Aidid (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian rokok putih dan minuman keras yang dirampas menerusi serbuan berasingan di sebuah gudang di Rawang dan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Oktober dan November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan sindiket penyeludupan membawa masuk rokok putih dan minuman keras haram dipatahkan menerusi rampasan bernilai lebih RM3 juta dalam serbuan berasingan di sebuah gudang di Rawang dan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Oktober dan November lalu.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) Zon Tengah, Datuk Aidid Tajuddin berkata, serbuan pertama dijalankan pada 31 Oktober oleh Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), pasukan Operasi daripada Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) kira-kira jam 10.20 pagi di sebuah gudang penyimpanan di kawasan Perindustrian Rawang.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sebahagian kotak yang mengandungi rokok putih dirampas.
Sebahagian kotak yang mengandungi rokok putih dirampas.

"Hasil pemeriksaan menemui muatan berisi 300 peti rokok putih mengandungi 3,240,000 batang rokok dengan nilai RM 377,400 dan membabitkan cukai yang dianggarkan berjumlah RM2,175,500.

"Muatan tersebut disimpan di aras bawah gudang dan dipercayai dibawa masuk melalui kontena daripada kawasan pelabuhan utama negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, gudang terbabit dipercayai telah tiga bulan menjalankan aktiviti penyimpanan rokok dan disyaki menjadi pembekal utama di kawasan Lembah Klang.

"Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan pemilik gudang atau kumpulan sindiket yang terlibat bagi tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai serbuan kedua pada 15 November lalu, Aidid berkata, serbuan berjaya mematahkan cubaan menyeludup sejumlah minuman keras yang disyaki tidak bercukai melalui penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah minuman keras yang mengandungi 16 peratus alkohol dan rampasan dagangan dianggarkan berjumlah 22,464 liter dengan nilai RM130,300 membabitkan cukai serta duti yang dianggarkan berjumlah RM864,000.

"Susulan daripada pemeriksaan tersebut, seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai ‘forwarding agent’ telah ditahan bagi membantu siasatan," ujarnya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati pihak berkaitan gagal mengemukakan dokumen kelulusan pengimportan dagangan terbabit.

"Minuman keras tersebut diletakkan di bahagian belakang muatan kontena dan ruangan hadapan diletakkan ‘aerosol empty can’ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.