Dua pengedar dadah ditahan bersama sepucuk pistol

Mohd Nasaruddin (kanan) bersama Mannadzar menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan tersebut.
Mohd Nasaruddin (kanan) bersama Mannadzar menunjukkan pistol yang dirampas dalam serbuan tersebut.
A
A
A

PASIR MAS - Dua pengedar dadah warga Thailand ditahan bersama sepucuk pistol di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rahmat, Lubok Setol di sini pada Rabu.

Serbuan oleh sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu itu dilakukan pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa tangkapan dibuat berlaku pergelutan dengan suspek sehingga menyebabkan salah seorang anggota mengalami kecederaan di bahagian dahi.

"Sebaik sahaja kedua-dua suspek yang berusia 20 hingga 40 tahun itu diberkas dan pemeriksaan yang dijalankan di rumah tersebut telah menjumpai sepucuk pistol jenis S&W 38 bersama 25 biji peluru hidup.

"Pada masa yang sama kita telah merampas 164 biji pil yaba," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Khamis.

Hadir sama ialah, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Mannadzar Nasib.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua tahun lalu.

Ujarnya, polis turut mendapati rumah yang dijadikan sebagai 'markas' itu sudah disewa sejak dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasaruddin berkata, salah seorang suspek memiliki pistol itu dengan tujuan untuk dijadikan sebagai perlindungan diri kerana pernah ditembak sebelum ini.

"Kes ini disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti lebih berat 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63," katanya.