Rafizi tumpu tambah baik laksana projek basmi kemiskinan

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Menambah baik pelaksanaan projek basmi kemiskinan tegar di seluruh negara merupakan antara tumpuan utama bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Rafizi Ramli.

Beliau yang baharu bertugas secara rasmi selama 10 hari berkata, minggu pertamanya bertugas di kementerian lebih banyak tertumpu kepada menghadiri mesyuarat.

“Ini hari yang ke 10 saya berada di pejabat secara rasmi sebagai Menteri Ekonomi. Fungsi utama Kementerian Ekonomi adalah, sudah tentu merancang dan memastikan pertumbuhan ekonomi itu berjalan dengan baik serta lonjakan daripada segi laba ekonomi sampai kepada rakyat.

“Jadi, tumpuan saya selain tugasan harian contohnya mesyuarat dan menghadiri keputusan-keputusan yang melibatkan pandangan dan kesan ekonomi, dalam 10 hari pertama ini, tumpuan adalah bagi memahami projek dan perancangan jangka panjang, terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Selain itu juga, saya banyak memberikan tumpuan kepada memahami persediaan dan keupayaan kita daripada segi data, ke arah mengimbangi keperluan untuk memberikan subsidi bersasar dan kemampuan kewangan kita.

“Ada tugas-tugas harian seperti menghadiri mesyuarat menteri, minyak dan lain-lain. Tumpuan saya untuk dua, tiga minggu akan datang adalah mengkaji, mengemaskini dan menambah baik pelaksanaan projek basmi kemiskinan tegar di seluruh negara supaya ada kesan langsung kepada rakyat terbanyak,” katanya dalam perkongsian video di TikTok.

Dalam video yang berdurasi 2 minit 26 saat itu, Rafizi turut menjelaskan perbezaan antara kementeriannya dengan Kementerian Kewangan.

Katanya, Kementerian Ekonomi mengambil pandangan dan perancangan bagi tempoh masa yang panjang serta bertanggungjawab sebahagian besarnya untuk memastikan penyelarasan daripada projek jangka panjang atau selalu disebut perbelanjaan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga selaras dengan perancangan dan menggerakkan ekonomi ke arah yang dikehendaki untuk mencapai pertumbuhan yang kita perlukan,” ujar beliau.

Tambah Rafizi, setiap minggu, beliau akan mengemaskini mengenai tugasan dan rancangan kementeriannya untuk pengetahuan umum.