Kerajaan Perpaduan teruskan projek tebatan banjir diluluskan

Ahmad Zahid (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penghuni di PPS SK Gual To'Deh di Rantau Panjang pada Khamis.
Ahmad Zahid (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada penghuni di PPS SK Gual To'Deh di Rantau Panjang pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kerajaan Perpaduan akan meneruskan projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu tanda komitmen kerajaan dengan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

"Kita bukan sekadar mengkaji, sebaliknya mahu melaksanakan segera berdasarkan kepada peruntukan yang telah disediakan kementerian kewangan," katanya semasa sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pada 19 Disember ini sidang Parlimen khas untuk meluluskan emolumen dan juga perbelanjaan projek yang sedang berjalan serta akan dibayar oleh kementerian kewangan.

Ujarnya, pembentangan belanjawan akan dilakukan selepas Titah Diraja pembukaan sidang Parlimen Penggal Ke-15 pada Februari nanti.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, bagi kerja-kerja baik pulih rumah yang telah diumumkan oleh pentadbiran terdahulu akan diteruskan seperti biasa mengikut kelulusan sebelum ini.

"Kita akan laksanakan tanpa mengurangkan atau menafikan apa yang telah diluluskan sebelum ini. Untuk bantuan banjir saya telah arahkan agensi berkaitan untuk membayar sebelum air surut.

"Bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berdaftar dan layak," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah menyediakan pelan jangka panjang pengurusan banjir terutama dari segi projek tebatan banjir.

Tambahnya, kerajaan mempunyai perancangan sehingga tahun 2100 dengan peruntukan yang agak besar dan dilakukan secara bersasar.

"Keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang sering dilimpahi banjir dan jumlah curahan hujan tinggi.

"Selain tebatan banjir, kerja-kerja mengorek muara sungai akan turut dilakukan bagi mendalamkan kawasan tersebut supaya air dapat mengalir dengan cepat," katanya.