Sasaran tinggi barakan semangat pemain baharu

FAM perlu meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan Harimau Malaya.
FAM perlu meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan Harimau Malaya.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin boleh meletakkan sasaran tinggi dalam Piala AFF walaupun skuad Harimau Malaya dibarisi ramai pemain muda dan muka baharu.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, sasaran tinggi itu bukan untuk memberi tekanan kepada pemain sebaliknya mampu membakar semangat memperagakan aksi terbaik dalam kejohanan tersebut.

“Memang itu (letak sasaran tinggi) yang perlu dibuat FAM. Siapa pun yang berada dalam senarai akhir 23 pemain, sekurang-kurangnya kita sudah letak di satu standard yang tinggi.

“Kalau dapat capai, ia adalah satu pencapaian dan kejutan untuk pasukan kebangsaan tetapi jika tidak, ia boleh dijadikan sebagai medium untuk jurulatih melihat keupayaan sebenar pemain muda dan muka baharu yang mewakili negara kali ini. Jadi jangan takut letak sasaran tinggi,” katanya kepada Sukan Harian pada Rabu.

Untuk rekod, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih belum mengumumkan sasaran di Piala AFF dan hanya akan berbuat demikian selepas perlawanan persahabatan menentang Maldives.

FAM perlu meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan Harimau Malaya. - Foto Football Association of Malaysia
FAM perlu meletakkan sasaran tinggi kepada pasukan Harimau Malaya. - Foto Football Association of Malaysia

Wan Jamak yang juga bekas pengendali kebangsaan turut menyifatkan sasaran ke perlawanan akhir sebagai realistik untuk diletakkan Pan-gon dan FAM.

Menurutnya, ia berdasarkan semangat pemain muda dan baharu yang sudah tentu akan memberikan aksi luar biasa buat negara kerana pertama kali menyarung jersi kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Harapan penyokong dan saya sendiri sudah tentu mahu lihat mereka ke final. Bagi saya, pemain baharu atau pemain lama, itu persoalan nombor dua.

“Apa yang penting, pemain itu mewakili negara dan apabila mewakili negara, dia kena menunjukkan prestasi yang baik berbanding mewakili kelab.

“Kita juga kena tengok apabila pemain baharu diberikan peluang bermain, mereka akan menunjukkan satu permainan yang luar biasa untuk memenangi hati peminat dan jurulatih. Jadi tidak salah meletakkan sasaran tinggi,” katanya.

Harimau Malaya akan memulakan aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2022 pada 21 Disember ini menentang Myanmar di Yangon.

Skuad Pan-gon kemudian dijadualkan bertemu Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember sebelum menentang Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari depan.