Penduduk Shah Alam masih trauma

Muhd Jannatul Naim menunjukkan kesan akibat banjir tahun lepas di Surau Al-Hassany.
Muhd Jannatul Naim menunjukkan kesan akibat banjir tahun lepas di Surau Al-Hassany.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanggal 18 Disember ini, genaplah setahun tragedi banjir terburuk di Selangor yang mengorbankan 25 nyawa dan menyebabkan kemusnahan harta benda bernilai jutaan ringgit.

Mengimbas kembali tragedi itu, tiada siapa menyangka di saat persediaan banjir tertumpu kepada negeri di pantai timur, rupa-rupanya hujan luar jangka yang melanda Lembah Klang telah menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat dilanda banjir.

Ribuan rumah dan kenderaan ditenggelami banjir. Kos pasca banjir bagi pengurusan sampah, penyelenggaraan jalan dan pengukuhan tebing sungai memperuntukkan belanja yang besar.

Insiden tersebut nyata menggemparkan negara dan telah menarik perhatian banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) juga orang perseorangan dari luar Selangor datang menghulurkan bantuan.

Mangsa banjir, Muhammad Muhadzam Saleh, 32, berkata, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Kejadian tersebut memang di luar jangkaan, mulanya ingatkan hanya hujan biasa tapi air naik sedikit demi sedikit hingga ketinggian mencecah paras semeter. Dalam keadaan panik, sempat juga saya alihkan beberapa barang penting ke atas siling rumah tapi tak sangka siling rumah runtuh. Habis semua dokumen dihanyutkan air.

“Hampir tiga hari rumah ditenggelami banjir namun terpaksa mengosongkan rumah hampir sebulan bagi kerja pembersihan dan membaiki siling runtuh.

“Kos yang terpaksa ditanggung kesan banjir adalah lebih RM25,000 dengan baiki kereta saja mencecah RM10,000,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan Kit Misi Bantuan Bencana Sinar Karangkraf Bersama Komuniti di Kampung Kebun Bunga, Batu 3 di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada program berkenaan, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin bersama Pengurus Tugas-Tugas Khas, Hashim Anang menyampaikan 50 kit bantuan kepada penduduk kampung berkenaan.

Surau ditutup hampir sebulan

Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Hassany, Muhd Jannatul Naim Hasan berkata, surau dibangunkan di sini sejak tahun 1986 turut ditenggelami banjir yang terpaksa ditutup hampir sebulan bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

“Karpet surau yang baru diganti bulan September sempat dipakai tiga bulan saja sebelum terpaksa dibuang selepas rosak dipenuhi selaput lumpur banjir.

“Disebabkan semua penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing yang teruk dilanda banjir, kerja pembersihan surau hanya dapat dilakukan selepas itu. Hampir sebulan juga surau ditutup dan berjaya dibersihkan sepenuhnya," jelasnya.

Wakil penduduk Kampung Kebun Bunga Batu 3, Azlina Aton pula berharap kerajaan negeri dapat menyediakan projek tebatan banjir yang sempurna di kawasan kampung berkenaan yang terjejas teruk dengan insiden banjir 18 Disember tahun lalu.

Katanya, kawasan ini pernah mengalami banjir buruk pada tahun 1995 dan 2005, namun beberapa inisiatif dilakukan termasuk meninggikan ban telah berjaya mengatasi masalah tersebut sebelum kembali dilanda banjir pada tahun lepas.

“Saya harap kerajaan negeri sediakan tebatan banjir yang betul, dibina tebing konkrit serta sungai dikorek dan diperdalamkan bagi tampung kuantiti air jika berlakunya hujan luar jangka,” ujarnya.

Katanya, kejadian banjir lalu benar-benar menyebabkan penduduk dalam keadaan trauma dan hampir lima malam terpaksa tidur di pusat pemindahan sementara.

“Kerugian yang ditanggung bukannya sikit semuanya mencecah puluhan ribu, ada juga babitkan kehilangan nyawa.

“Penduduk mahukan jaminan penuh melalui langkah tebatan banjir dilakukan sebaiknya bagi mengelak insiden sama berulang,” katanya.

Bantuan banjir

Sementara itu, Nik Justin berkata, ini merupakan kali kedua Grup Sinar Karangkraf ke kampung berkenaan bagi menghulurkan bantuan banjir kepada penduduk terjejas.

“Sebelum ini kami datang bantu membersihkan rumah penduduk dan selepas setahun tragedi kami datang semula ke sini bagi bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan kit bantuan bencana.

“Turun padang hari ini (Selasa) mendapati kebanyakan penduduk setempat meluahkan kebimbangan sama iaitu dari segi aspek penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan masih pada tahap mengecewakan.

“Ini menyebabkan penduduk berasa risau setiap kali hujan, jadi saya minta pihak berkaitan menyegerakan kerja-kerja penyelenggaraan,” katanya.

Nik Justin (berdiri, empat dari kiri) dan Hashim (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan
kit bantuan bencana di Kampung Kebun Bunga Batu 3, Shah Alam pada Selasa.
Nik Justin (berdiri, empat dari kiri) dan Hashim (berdiri, empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan kit bantuan bencana di Kampung Kebun Bunga Batu 3, Shah Alam pada Selasa.

Jelas beliau, Kit Misi Bantuan Bencana Sinar Karangkraf Bersama Komuniti telah dilaksanakan awal Disember lalu dan menumpukan kawasan Selangor yang terlibat banjir dalam kejadian 18 Disember tahun lepas.

“Ini salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. Setakat ini lima lokasi dikenal pasti dan misi akan diteruskan sepanjang musim tengkujuh dijangka hingga April 2023.

“Program ini mendapat kerjasama daripada Pharmaniaga Berhad, Pasar Borong GM Klang dan Klinik Aranda yang menyumbang keperluan asas banjir seperti ubat-ubatan, makanan, lampu suluh, tuala serta powerbank,” ujarnya.

Menurutnya, misi tersebut akan diperluaskan ke luar Lembah Klang dijadualkan pada Januari.

Nik Justin berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat korporat atau NGO yang berminat untuk turut serta dalam misi bantuan tersebut dan boleh menghubungi talian hotline 019-213 3315 bagi sebarang urusan.