Perancis gah ke final Piala Dunia, jumpa Argentina

Kolo Muani muncul duri dalam daging kepada Maghribi apabila muncul penjaring gol kedua Perancis dalam perlawanan separuh akhir Qatar 2022 di Stadium Al Bayt pada awal pagi Khamis. - Foto Agensi
Kolo Muani muncul duri dalam daging kepada Maghribi apabila muncul penjaring gol kedua Perancis dalam perlawanan separuh akhir Qatar 2022 di Stadium Al Bayt pada awal pagi Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

PENYANDANG juara Perancis membuktikan kredibiliti sebagai pasukan layak beraksi di pentas perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas menyingkirkan cabaran Maghribi 2-0 pada separuh akhir di Stadium Al Bayt pada awal pagi Khamis.

Angkatan Didier Deschamps tampil dengan reputasi pasukan pilihan di pentas empat terbaik dengan misi untuk menjadi pemenang Piala Dunia kedua berturut-turut pertama sejak Brazil pada 1958 dan 1962.

Deschamps mempertaruhkan rangkaian mesin gol elit Kylian Mbappe, Olivier Giroud dan Antoine Griezmann yang paling berbahaya, serta berpengalaman ketika menjulang kejuaraan di edisi Rusia 2018 sebelum ini.

Namun pada masa sama terpaksa menyisihkan kudrat Adrien Rabiot dan Dayot Upamecano di saat akhir berikutan masalah kesihatan.

The Atlas Lions kendalian Walid Regragui pula yang menjadi pasukan dari benua Afrika pertama mara ke separuh akhir dalam sejarah kejohanan itu tampil sekali lagi dengan pakej kejutan sebagai skuad pembunuh gergasi.

Regragui mengekalkan kebergantungan terhadap dua perancang utama, Hakim Ziyech dan Achraf Hakimi selain kemagisan Youssef En-Nesyri di bahagian depan.

Bagaimanapun pemain pertahanan kelab Serie A Itali AC Milan, Theo Hernandez berusia 25 tahun terlebih dulu meletakkan Les Bleus di depan seawal minit kelima hasil kealpaan bahagian pertahanan Maghribi untuk mendahului babak pertama.

Pada babak kedua Perancis terpaksa menunggu kehadiran kelibat pemain kelab Bundesliga Jerman Eintracht Frankfurt, Randal Kolo Muani yang masuk menggantikan bintang kelab La Liga Sepanyol, Ousmane Dembele minit ke-79, bagi melengkapkan kemenangan Les Bleus beberapa saat kemudian.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu membolehkan Perancis berentap menentang juara Copa America 2021 pimpinan Lionel Scaloni yang diketuai Lionel Messi di Stadium Lusail pada Ahad.

Argentina yang juga juara dunia edisi 1978 dan 1986 mara ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan cabaran naib juara Rusia 2018 Croatia 3-0 dalam satu lagi separuh akhir di Stadium Lusail pada awal pagi Rabu.

Maghribi pula akan berdepan Croatia bagi penentuan tempat ketiga dalam perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu.

Untuk rekod kali terakhir kedua-dua pasukan berentap pada 23 November lalu di Stadium Al Bayt yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.