Presiden Afrika Selatan terselamat proses pemecatan

Ramaphosa terselamat proses itu dengan mudah setelah meraih sokongan parti pemerintah pada Selasa. - Foto: Agensi
Ramaphosa terselamat proses itu dengan mudah setelah meraih sokongan parti pemerintah pada Selasa. - Foto: Agensi
A
A
A

CAPE TOWN - Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa yang terpalit skandal sorok wang tunai bawah sofa tidak akan berhadapan proses pemecatan.

Beliau terselamat proses itu dengan mudah setelah meraih sokongan parti pemerintah, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) dengan keputusan 214-148 undi pada Selasa.

Undian itu dilakukan setelah laporan sebuah panel bebas mendapati Ramaphosa, 70, mungkin bersalah atas pelanggaran serius dan salah laku setelah beliau menyembunyikan insiden rompakan sejumlah besar wang tunai di rumah ladang miliknya.

Keputusan yang berpihak kepadanya telah menghalang prosedur yang dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan politik di negara perindustrian utama di Afrika itu.

Susulan itu, pejabat beliau dalam satu kenyataan memberitahu Ramaphosa telah menzahirkan komitmen untuk bekerjasama terhadap proses yang sewajarnya.

Pada minggu lalu, pengganti Jacob Zuma yang diangkat sebagai pejuang rasuah itu menerima sokongan meluas ANC yang memegang 230 daripada 400 kerusi Dewan Negara.

Menteri Kehakiman, Ronald Lamola menyelar laporan yang mendedahkan skandal itu dengan menyatakan tiada bukti mencukupi untuk memecat beliau. - AFP

Artikel Berkaitan: