Impian Piala Dunia Messi

Messi
Messi
A
A
A

BINTANG sensasi Argentina, Lionel Messi berada pada rentak terbaik untuk membantu La Albiceleste muncul juara Piala Dunia sekali gus mengapai piala yang belum dimiliki dalam kariernya itu.

Messi yang tampil cemerlang dalam membawa Argentina mara ke perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Croatia 3-0 di separuh akhir pada Rabu mengakui ia satu lagi kenangan manis untuk dirinya.

"Sepanjang Piala Dunia, apa yang kami alami sangat luar biasa. Kami akan bermain perlawanan akhir dan ini adalah apa yang kami mahukan.

"Saya tidak tahu sama ada ia adalah Piala Dunia terbaik saya tetapi sudah lama saya menikmatinya. Pasukan ini gila. Kami akan bermain satu lagi perlawanan akhir, kami akan menikmati semua ini," katanya.

Messi yang dinobatkan pemain terbaik dalam aksi separuh akhir itu menjaringkan satu gol melalui sepakan penalti sebelum pemain muda meningkat naik, Julian Alvarez meledak dua gol untuk memastikan kemaraan Argentina.

Messi yang sebelum ini pernah kecewa dalam aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2014 selepas tewas kepada Jerman berpeluang menebus kehampaan itu sekali gus merangkul Piala Dunia pertama dalam kariernya.

Messi juga sudah meledak lima gol dalam saingan Piala Dunia kali ini dan bermakna dia mengatasi Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Argentina di Piala Dunia apabila mengumpul 11 gol.

Pemain Paris Saint Germain (PSG) itu juga mahu para pemain meraikan kejayaan tersebut sebelum memikirkan cabaran getir di perlawanan akhir.

Artikel Berkaitan:

Argentina, sekali lagi, berada di final Piala Dunia. Mari raikannya!.

"Kita sudah berada dalam situasi yang sukar, selain itu perlawanan yang sangat bagus. Hari ini kita melalui sesuatu yang menakjubkan.

"Kami tahu apa yang kami boleh lakukan, kami yakin. Kami tahu kami bukanlah pilihan tetapi sekarang tiada siapa yang menafikan dan kami berhak menerima apa yang kami sepatutnya dapat," katanya.