Argentina tempah tiket final

Messi (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Lusail pada awal pagi Rabu. -Foto: EPA
Messi (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Lusail pada awal pagi Rabu. -Foto: EPA
A
A
A

ARGENTINA mengesahkan kemaraan ke pentas final Piala Dunia Qatar 2022 selepas melakar kemenangan besar 3-0 ke atas Croatia dalam aksi separuh akhir di Stadium Lusail pada awal pagi Rabu.

Lionel Messi sekali lagi menjadi arkitek penting di sebalik kejayaan skuad La Albiceleste itu yang kini menanti pemenang di antara Perancis atau Maghribi pada aksi final hujung minggu ini.

Dalam pertemuan menentang Croatia yang tampil selaku finalis Piala Dunia 2018 di Rusia, Argentina tampak bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Selepas beberapa kali mengasak kubu Croatia, Argentina akhirnya berjaya merobek gawang lawan menerusi sepakan penalti Messi pada minit ke-34.

Sepakan penalti itu berpunca daripada kekasaran yang dilakukan penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic ketika dia cuba menghalang larian pantas Julian Avarez.

Jaringan itu menyaksikan Messi kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak Piala Dunia 2022 bersama bintang Perancis, Kylian Mbappe dengan lima gol.

Malah, gol tersebut turut menyaksikan kapten Argentina itu mengatasi rekod legenda La Albiceleste, Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 11 gol.

Pada penghujung babak pertama, kem Argentina terus berpesta apabila giliran Alvarez pula menggegar gawang Croatia hasil larian solonya dari tengah padang.

Artikel Berkaitan:

Pengendali Croatia, Zlatko Dalic memasukkan Mislav Orsic, Nikola Vlasic dan Bruno Petkovic bagi menambah sengat di bahagian serangan pada babak kedua.

Namun, keghairahan mereka memburu gol hampir dihukum Argentina menerusi gerakan Alvarez dan Enzo Fernandez pada minit ke-56.

Pada ketika Croatia rancak melancarkan serangan, Argentina terus menggamatkan stadium apabila Alvarez meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-70.

Messi sekali lagi berperanan sebagai pencipta gol itu dengan membuat larian dari tepi padang sebelum membuat satu hantaran yang mudah disempurnakan Alvarez.

Dengan kemenangan itu, Argentina yang juga juara Copa America 2021 kini hanya selangkah bergelar juara dunia buat kali ketiga selepas muncul juara edisi 1978 dan 1986.

Malah, ini merupakan peluang kedua buat Messi menjulang Piala Dunia selepas dikecewakan Jerman dalam aksi final Piala Dunia 2014 di Brazil.