10 ahli Geng Kabali dipenjara 18 bulan, seorang didenda

Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada Selasa.
Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Seremban pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Sepuluh daripada 11 ahli Geng Kabali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan manakala seorang lagi dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa selepas didapati bersalah atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap 11 tertuduh iaitu K Sarugunan, 41; R Kamal Rajh, 28; L Navinraj, 29; S Ilangovan, 43; G Kartik, 28; G Ravikumar, 30; S Viven,23; S Sivabalan, 26; R Kunasekaran, 34; R Jeevanraj, 25 dan S Subramaniam, 53 yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap 10 tertuduh itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada Disember 2019 manakala seorang lagi iaitu Subramaniam yang dikenakan denda RM3,000 dikecualikan pembayarannya dengan mengambil kira tempoh remannya sebelum ini selama 463 hari.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim meminda pertuduhan tertuduh daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh telah didapati menjadi anggota Geng Kabali yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 1 Februari hingga 27 November 2019, di lorong kecil di tepi jalan besar Batu 12 1/2, Jalan Rantau- Siliau, Rantau di sini.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Tertuduh diwakili tujuh peguam, V Muniandy Vestanathan, S Gowri Subbaiyah, Muhammad Afiq Yahawa, S Karthigesan, Paul Krishna, Raja Sukhdave Singh dan James Thanjung Tuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Karthigesan dalam rayuan memohon anak guamnya, Subramaniam didenda tanpa bayaran dengan mengambil kira tertuduh telah direman selama 463 hari selain menghidap penyakit kronik dan faktor usia.

Sebelum ini media melaporkan pada 9 Januari 2020 seramai 19 ahli Geng Kabali didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Geng Kabali yang disyaki terbabit sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Ops Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.