Lelaki bakar rumah kekasih, bengang hubungan dihalang

Adzli Abu Shah
Adzli Abu Shah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dipercayai bertindak khianat membakar rumah teman wanitanya yang juga merupakan isteri orang di Taman Desa Aman kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Namun ketika kejadian, kesemua ahli keluarga mangsa tidak berada di rumah kerana telah pulang ke kampung di Baling setelah menerima ugutan dari suspek sehari sebelum kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang terdengar bunyi cermin pecah dan ternampak suspek melarikan diri.

"Siasatan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menemui satu besi pengumpil di halaman rumah dan satu penutup botol berbau petrol," katanya.

Menurutnya, suspek berusia 24 tahun dikenali sebagai Black, tinggal berdekatan rumah mangsa dan merupakan seorang penganggur.

“Suspek dan teman wanitanya berusia 33 tahun dikatakan menjalin hubungan sulit sejak setahun lalu, dan kedua-dua mereka adalah penagih dadah.

“Menurut suami wanita terbabit, dia membawa isterinya serta empat anak mereka tinggal di kampung bertujuan menghalang isterinya itu terus berjumpa suspek.

“Suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan suami wanita itu sehingga dia mengugut mahu membunuh seluruh keluarga itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan:

Suspek dikesan mempunyai kesalahan lampau membabitkan kes dadah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Suspek cuba melarikan diri ketika polis menemuinya kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian menyebabkan berlaku adegan kejar-mengejar.

"Dalam kes ini, suspek ada mengugut mahu membunuh suami wanita itu yang berusia 35 tahun serta empat anak mereka berusia antara 1 hingga 12 tahun," katanya.

Kebakaran tersebut telah menyebabkan dua buah rumah hangus termasuk rumah jiran mangsa.

Suspek telah ditangkap manakala isteri pengadu yang hilang sejak pagi tadi gagal dikesan.

Menurut Adzli, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita bersuami.