ADUN Darau nafi 'lompat' tinggalkan Warisan

Azhar
Azhar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin tampil menafikan dakwaan bahawa beliau bersama enam lagi ADUN meninggalkan Parti Warisan (Warisan).

Menurut Azhar, beliau juga tidak pernah menandatangani sebarang dokumen surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.

"Perkara ini tidak betul, saya tidak pernah menandatangani apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.

"Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu untuk mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan Sabah berkata, ketika ini semua ADUN daripada parti itu berada di belakang Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

"Ini sekali gus menyokong penuh kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. Kita akan terus berjuang menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Azhar turut menegaskan bahawa sebagai pemimpin beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain dan kekal bersama kepimpinan sedia ada.

Artikel Berkaitan: