Wakil rakyat tidak dibenar berucap di masjid, surau di Perak

SAARANI
SAARANI
A
A
A

IPOH - Semua wakil rakyat tidak dibenarkan memberi ucapan di masjid dan surau di negeri Perak walaupun memiliki tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu selaras dengan pekeliling dikeluarkan JAIPk mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak membenarkan ahli politik berucap atau menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Menurutnya, sehubungan itu, semua pihak terutama wakil rakyat perlu akur dan menghormati pekeliling berkenaan walaupun sebelum ini mereka aktif memberi kuliah serta berceramah.

"Saya ini Menteri Besar merangkap Exco Agama Islam, banyak kali saya hadir solat Jumaat, pengerusi masjid bangun untuk menjemput saya berucap, tapi saya kekal dengan titah Tuanku itu maka saya tidak berucap sebab saya orang politik.

"Saya faham ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini merupakan pemegang tauliah atau ustaz tapi sekarang dia telah pun menjadi wakil rakyat, bermakna dia orang politik. Jadi dia tertakluk dan terikat dengan pekeliling tersebut sepertimana juga saya," katanya kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Cikgu Saarani di Perak FM, Jabatan Penyiaran Negeri Perak di sini pada Selasa.

Saarani berkata, sekiranya mana-mana individu berkenaan ingkar titah berkenaan, tauliah mengajarnya mungkin akan ditarik balik.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran di Facebook oleh bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mempersoalkan tindakan seorang ADUN dijemput menyampaikan ceramah di sebuah masjid di negeri ini.

JAIPk dalam satu pekeliling pada 26 Oktober lalu melarang sebarang aktiviti berbaur politik di masjid, Surau Diri Jumaat dan surau di negeri ini susulan titah Sultan Nazrin ketika Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Peringkat Negeri Perak pada 24 Oktober 2019.

Artikel Berkaitan:

Menurut pekeliling tersebut, larangan berkenaan bertujuan menjaga kemuliaan masjid, Surau Diri Jumaat dan surau.