Kerajaan wajar timbang semula GST - Muda

Zaidel
Zaidel
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyarankan kerajaan agar mempertimbangkan semula pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi memastikan ekonomi negara terus mampan dan teguh.

Naib Presiden Muda, Zaidel Baharuddin berkata, sistem cukai GST lebih menyeluruh dan telus berbanding cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST).

Menurutnya, ia merupakan satu sumber pendapatan kepada kerajaan yang lebih stabil dan dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada cukai hasil minyak dan gas.

"Sebagaimana yang kita semua tahu, hasil dari sumber komoditi seperti minyak dan gas terlalu banyak bergantung kepada kesan luar kawalan dari keadaan geopolitik dunia.

"Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan pengguna khususnya dari segi kesan ke atas harga barangan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan GST pada kadar yang lebih rendah berbanding dahulu sebagai kadar permulaan sebanyak tiga peratus misalnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Zaidel, kerajaan juga boleh menggunakan pelbagai mekanisme seperti Akta Anti Pencatutan atau Skim Kawalan Harga bagi memastikan kestabilan harga barangan sewaktu proses migrasi sistem percukaian selain daripada mengenakan kadar 0 peratus kepada barangan asas atau kritikal.

Jelasnya, negara memerlukan sistem cukai yang lebih telus dan menyeluruh, selain berfungsi sebagai punca pendapatan yang lebih konsisten kerana ia juga merupakan sistem percukaian yang lebih efektif dalam membantu kerajaan membuat kiraan dan unjuran dari hasil cukai pendapatan.

"Sudah tiba masanya, untuk kita berfikir secara objektif dengan matlamat yang jelas, dan menimbang dengan serius akan pelaksanaan semula GST.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH, dengan pengalaman yang lalu dan mekanisme yang tersedia ada, kita mampu melaksanakan GST dengan lebih efektif dan berkesan kali ini," katanya.