Siling runtuh: Kawasan bazar kraftangan ditutup sementara

Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Jalan Kubu melakukan pemeriksaan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir susulan kejadian runtuhan siling yang berlaku malam tadi ketika tinjauan, pada Isnin. - Foto Bernama
Pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Jalan Kubu melakukan pemeriksaan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir susulan kejadian runtuhan siling yang berlaku malam tadi ketika tinjauan, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sebahagian kawasan di Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir di sini diarah tutup sementara bermula Isnin ekoran berlaku runtuhan siling kapur di premis bazar itu malam tadi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan penutupan itu dibuat bagi tujuan keselamatan dan memberi laluan kerja-kerja baik pulih serta pembersihan dilakukan di tingkat bawah tanah pusat beli-belah berkenaan.

Penutupan itu tidak melibatkan 133 kedai kraf tangan yang ada, sebaliknya hanya di kawasan melibatkan kejadian runtuhan yang menempatkan kira-kira empat kedai kraf tangan milik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

"Kita khuatir akan berlaku lagi kejadian siling runtuh di kawasan bazar melibatkan beberapa kedai kraf tangan lain memandangkan struktur siling kapur itu tidak kuat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, kebocoran halus pada lantai di aras atas bangunan pusat beli-belah berkenaan dikenal pasti sebagai punca menyebabkan siling runtuh selain tindakan peniaga menggantung barangan jualan pada siling.

Katanya, kerja-kerja pembaikan siling dan kebocoran akan dilakukan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang merupakan pihak pengurusan pusat beli-belah itu dan MBMB telah membayar lebih RM26,000 kepada pihak tersebut bagi menguruskan pengoperasian bazar.

Rahmad berkata, anggaran kos pembaikan masih dalam siasatan MBMB dan kos kerugian peniaga terlibat juga belum dikenal pasti.

"Pihak MBMB dan JMB sedang berurusan untuk pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan ia akan dilakukan secepat mungkin agar peniaga terlibat dapat berniaga seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular satu video rakaman sistem kamera litar tertutup berdurasi 23 saat di media sosial mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira 10 malam tadi dan memperlihatkan seorang lelaki nyaris terkena runtuhan siling.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu. - Bernama