Mangsa banjir di Kelantan, Johor meningkat

Penduduk kampung terpaksa menggunakan bot dan meredah banjir untuk melakukan kegiatan harian mereka. -Foto Bernama
Penduduk kampung terpaksa menggunakan bot dan meredah banjir untuk melakukan kegiatan harian mereka. -Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu berkurangan petang ini manakala di Kelantan dan Johor terus meningkat dan Perak kekal seperti pagi tadi.

Di PAHANG, situasi banjir bertambah baik apabila pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Raub, Lipis dan Jerantut ditamatkan operasi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman mereka hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa banjir Pahang berkurangan kepada 405 mangsa petang ini, berbanding 573 orang pada pagi tadi, dengan 370 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh manakala 35 lagi di dua PPS di Bera.

Dua sungai pula masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Triang di Bera dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 209 orang daripada 55 keluarga, berbanding 659 orang daripada 168 keluarga pagi tadi, dengan hanya enam PPS yang beroperasi di seluruh negeri berbanding 11 PPS pagi tadi.

Sekretariat JPBN Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Kuala Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 80 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol dan SK Chendering, Kuala Nerus (70 orang di SK Bukit Nanas), Dungun (24 orang di SK Tok Kah), Kemaman (23 orang di Balai Raya Padang Kemunting) serta Besut (12 mangsa di Balai Raya Kampung Pantai).

Bagaimanapun, di KELANTAN jumlah mangsa banjir di Pasir Mas terus meningkat kepada 1,626 orang daripada 504 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 1,157 orang daripada 376 keluarga pagi tadi, yang kini ditempatkan di enam PPS.

Sekretariat JPBN Kelantan dalam kenyataan memaklumkan 680 mangsa ditempatkan di SK Tok Deh, SK Gual Periok (448), Masjid Mukim Padang Licin (63), Putat Tujoh (132), SK Kubang Kual (179) dan SK Sri Kiambang (124).

Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat turut menunjukkan peningkatan kepada 34 orang setakat pukul 4 petang ini berbanding 27 mangsa pada pukul 8 pagi tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya.
Artikel Berkaitan:


Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berkata tiga lokasi terjejas banjir iaitu melibatkan Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 Segamat dan Kampung Kuala Paya.

Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.85 meter (m) dan Sungai Muar di Buloh Kasap (8.95 m), manakala Sungai Sembrong, Batu Pahat berada pada paras waspada dengan bacaan 10.04 m.

Sementara itu, Sekretariat JPBN PERAK memaklumkan jumlah mangsa di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART) kekal 134 orang daripada 31 keluarga setakat 2 petang tadi. - Bernama