Joanna Yu percaya ada tangan ghaib TIA rugi RM700 juta

Joanna Yu Ging Ping
Joanna Yu Ging Ping
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, dia percaya terdapat ‘tangan ghaib’ yang menyebabkan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) mengalami kerugian berjumlah RM700 juta.

Saksi pendakwaan ke-41 (SP-41), Joanna Yu Ging Ping berkata, dia akhirnya sedar tangan ghaib itu terlibat dalam urusan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon.

Joanna Yu, 51, berkata, tindakan berkenaan telah mengundang kerugian kepada syarikat pelaburan strategik tersebut.

Ketika prosiding, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan mencadangkan bahawa, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengaut keuntungan daripada perkara terbabit.

Muhammad Shafee: Adakah kamu sedar, pihak yang mengaut keuntungan daripada urusan bon ini adalah Jho Low dan ‘orang dalam’ dalam Ambank?

Joanna Yu: Saya tidak tahu.

Untuk rekod, TIA diwujudkan pada tahun 2009 bagi merancang pembangunan di Terengganu.

Ia kemudiannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan ditukar nama kepada (1MDB) pada 25 September tahun sama.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut menyentuh mengenai perbualan pesanan ringkas Blackberry (BBM) antara Joanna Yu dan Jho Low.

Joanna Yu berkata, tiada niat terlintas difikirkannya ketika menawarkan diri untuk memasak sup kepada Jho Low.

Sebaliknya dia berkata, tindakan berkenaan dibuat sekadar menunjukkan perbuatan yang wajar diambil selaku pegawai bank kepada pelanggan.

“Saya ada tanya kalau dia nak, saya boleh buat sup, biasanya kita akan cakap perkara itu kepada orang sakit, itu adalah naluri keibuan,” katanya.

Muhammad Shafee kemudiannya berkata, tiada kakitangan bank yang pernah menawarkannya untuk memasak sup, biarpun dia tinggal berhadapan bank.

Joanna Yu: Saya akan tolong sesiapa saja.

Muhammad Shafee: Kamu membiarkan diri sendiri rapat dengan Jho Low, sampaikan tidak bertindak secara profesional?

Joanna Yu: Tidak, dia adalah rakan saya dan kami anggap dia, pelanggan korporat sebagai rakan.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Selasa.