Dua penjenayah maut berbalas tembakan dengan polis

Wan Hassan (kanan) menunjukkan pistol serta barangan yang dirampas selepas dua penjenayah ditembak mati di Jalan Jeniang-Kalai di Gurun.
Wan Hassan (kanan) menunjukkan pistol serta barangan yang dirampas selepas dua penjenayah ditembak mati di Jalan Jeniang-Kalai di Gurun.
A
A
A

ALOR SETAR - Dua penjenayah yang dikehendaki polis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Jeniang-Kalai, Gurun pada malam Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek pertama berusia 60-an itu mempunyai 64 rekod jenayah lampau termasuk 16 dikehendaki bersangkut kes samun berkumpulan dan bersenjata.

Menurutnya, semakan mendapati suspek baharu dibebaskan daripada tahanan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) lebih setahun lalu manakala suspek kedua berusia 40-an.

“Suspek pertama berusia 60-an itu turut mempunyai rekod 17 kes samun, dua kes dadah, 20 kes jenayah harta benda, tiga rekod kes Akta Bahan Kakisan/Senjata Terlarang, empat rekod kes Akta Pencegahan Jenayah dan dua kes lain,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.

Wan Hassan berkata, kejadian berlaku pada 11 malam ketika sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah membuat rondaan kes samun di sekitar Sungai Petani dan Jeniang, Sik.

“Ketika pemantauan dilakukan, pasukan polis terserempak dengan Proton Iswara kelabu gelap dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

"Suspek yang memandu kereta enggan memberhentikan kereta ketika diarahkan polis menyebabkan pasukan memintas kenderaan tersebut.

"Ketika pemeriksaan hendak dilakukan, terdengar bunyi tembakan dan percikan api dari arah pemandu dan penumpang hadapan menyebabkan berlaku berbalas tembakan dengan anggota polis untuk mempertahankan diri,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seorang daripada anggota polis turut terjatuh dipercayai terkena tembakan yang mengenai baju kalis peluru yang dipakainya.

“Pemeriksaan lanjut selepas itu mendapati pemandu dan penumpang telah rebah dan meninggal dunia.

“Polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver 38, sebilah parang dan pedang, satu kuku kambing, playar, pemutar skru, tiga penutup muka, sepasang sarung tangan, dua beg galas serta sepasang jaket dalam kenderaan tersebut.

"Kesemua barangan itu dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah,” katanya.

Wan Hassan berkata, operasi khas tersebut diadakan susulan terdapat kes samun terutama di sekitar Sungai Petani dan Kulim yang menyasarkan pesara dan warga emas dengan memecah masuk rumah mereka sebelum disamun menggunakan parang.

"Susulan itu, kita adakan operasi ini dengan polis daerah, namun pada malam kejadian, anggota kita terserempak dengan penjenayah terbabit," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh), Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 14 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan.

"Kita masih siasat kemungkinan suspek yang meninggal dunia turut terbabit dengan kes di negeri lain, mungkin di Pulau Pinang serta Perlis,” ujarnya.

Wan Hassan berkata, sehingga kini polis berjaya menyelesaikan sekitar 20 kes samun dan percaya masih ada saki-baki kumpulan berkenaan dan mereka akan terus diburu sehingga tertumpasnya sindiket tersebut.