Wakil rakyat perlu jaga kebajikan semua kaum

Hannah (tengah) pada majlis penyerahan van jenazah yang baharu di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara pada Isnin.
Hannah (tengah) pada majlis penyerahan van jenazah yang baharu di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wakil rakyat Kerajaan Perpaduan perlu bersikap adil dengan menyalurkan bantuan kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pemikiran parti politik berasas kaum perlu ditepis dan dihapuskan.

"Saya harap semua wakil rakyat yang dilantik akan menjaga kebajikan semua kaum. Dahulu kita lihat hanya ahli politik Melayu boleh jaga orang Islam atau hanya orang Cina boleh jaga kaum mereka.

"Pemikiran seperti ini perlu dibuang, kita dah tahun 2022. Kerajaan Perpaduan perlu pastikan semua wakil rakyat yang diberi mandat jaga semua kaum," katanya pada majlis penyerahan van jenazah yang baharu di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara pada Isnin.

Hannah berkata, pihaknya menyerahkan peruntukan hampir RM30,000 iaitu baki diperlukan pengurusan masjid bagi pembelian van berkenaan.

"Sebelum pembubaran Parlimen (penggal lalu), saya telah dimaklumkan oleh pihak masjid tentang keperluan mendapatkan van jenazah.

"Mereka telah mengumpulkan dana namun ketika itu masih belum mencukupi. Jadi saya lihat kertas kerja dan menambah dana bagi mencukupkan kutipan tersebut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Rumaizi Ahmad Sanusi berkata, pihak masjid mengumpul dana bagi pembelian van baharu susulan van lama dalam keadaan uzur dan terdapat insiden mengalami kerosakan di tengah jalan.

Artikel Berkaitan:

"Kita buka buka tabung pada hujung tahun lepas namun sehingga Mei kutipan tersebut masih tidak mencukupi.

"Beberapa ikhtiar lain turut dibuat termasuk permohonan secara bersurat namun alami kepayahan disebabkan pandemik Covid-19 sehinggalah saya mohon bantuan daripada YB yang bersetuju mencukupkan dana tersebut," ujarnya.

Van jenazah tersebut akan digunakan bersama lapan surau di bawah Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara.