Pemandu lori dicekup seleweng diesel

Lori terbabit membawa satu unit tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang kenderaan tersebut.
Lori terbabit membawa satu unit tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang kenderaan tersebut.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Cubaan seorang lelaki menyeleweng diesel dengan menggunakan lori yang diubah suai gagal selepas dia ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Hooi Soo dekat sini pada Ahad.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, RS Jegan berkata, pihaknya mengesan sebuah lori kanvas berwarna putih muatan tiga tan dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, lapan pegawai penguat kuasa menghampiri dan melakukan pemeriksaan terhadap lori terbabit sebelum menemukan satu unit tangki besi tambahan berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai dan ditempatkan di belakang kenderaan terbabit.

"Seorang lelaki warga tempatan yang berusia sekitar 40-an iaitu pemandu motolori dan juga pemilik kenderaan tersebut telah ditahan dan hasil pemeriksaan bagi motolori kanvas (3 tan) jenama Hino mendapati anggaran terdapat sejumlah 2,000 liter minyak diesel di dalam tangki besi terbabit.

"Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM75,817.20 termasuk barang sitaan iaitu lori kanvas tiga tan, minyak disyaki diesel (2,000 liter), tangki besi, dua unit motor pump, hose pump set, wang tunai dan telefon mudah alih," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda.

Artikel Berkaitan: