Sinar Harian perkenal anugerah BISA

Iktiraf golongan usahawan pelbagai kategori dan bidang

Nik Justin
Nik Justin
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi mengiktiraf dan menghargai usahawan tempatan khususnya pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, Sinar Harian buat julung kalinya memperkenalkan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA).

Ketua Pemasaran & Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, sebanyak 10 anugerah utama dan pelbagai lagi kategori anugerah menjadi pilihan Sinar Harian untuk usahawan termasuk golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menurutnya, penyertaan BISA terbuka kepada semua perniagaan berdaftar di Malaysia menerusi pelbagai kategori yang menjadi pilihan akhbar ini bagi mengiktiraf jenama kreatif, agensi, kepakaran, perkhidmatan dan lain-lain lagi.

“BISA merupakan sebuah anugerah julung kali diperkenalkan Sinar Harian yang signifikan dan khusus untuk memberikan penghargaan serta pengiktirafan kepada usahawan mikro kecil di negara ini.

“Keutamaan kami adalah mengetengahkan golongan usahawan yang telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi komuniti di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Nik Justin, menjadi tanggungjawab Sinar Harian sebagai akhbar nombor 1 paling dipercayai dan diyakini di negara ini mewujudkan pentas yang mengiktiraf golongan usahawan dalam majlis berprestij.

“Bermula Februari 2023, BISA diangkat sebagai acara tahunan selepas lebih 16 tahun menjadi media pilihan dan rujukan utama rakyat Malaysia.

“Kita mahu menonjolkan usahawan yang menyumbang kepada kemajuan ekosistem perniagaan di negara ini agar terus berkembang maju,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, apa yang membezakan BISA berbanding anugerah yang lain ialah setiap kategori ditampilkan dipilih sendiri oleh Sinar Harian bersama panel juri khas dan pemain industri.

Tambahnya, antara anugerah yang dipertandingkan termasuklah kategori usahawan pelbagai sektor seperti pertanian, elektronik, fesyen, pelancongan dan banyak lagi.

“Proses pemilihan telah bermula dan kemuncak malam gala penganugerahan akan diadakan di sebuah hotel pada 23 Februari 2023.

“BISA menerusi Sinar Harian membawa objektif utama menyokong usahawan yang membina perniagaan dari bawah hingga mampu menyumbang kepada ekonomi setempat termasuklah peluang pekerjaan kepada komuniti,” kata Nik Justin.

Untuk maklumat lanjut, layari https://bisaawards.sinarharian.com.my/ atau e-mel: bisaward@sinarharian.com.my.