Elaun ketua kampung, ketua masyarakat naik kepada RM1,200 sebulan

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Elaun bulanan ketua kampung dan ketua masyarakat di negeri ini akan dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kenaikan sebanyak RM300 itu dibuat sejajar dengan usaha meningkatkan profesionalisme institusi ketua kampung dan ketua masyarakat.

"Sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Johor bersetuju untuk menaikkan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

"Inisiatif itu bagi menghargai kepimpinan dan peranan institusi akar umbi ini yang berkhidmat siang dan malam bagi membantu masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Pada Februari 2019, bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Osman Sapian mengumumkan khabar gembira kepada 667 ketua kampung apabila bersetuju menaikkan kadar elaun sebanyak RM200 sebulan.

Osman dilaporkan berkata, pertambahan itu menjadikan kadar elaun diterima ketua kampung sebanyak RM900 sebulan berbanding RM700 sebelum ini.

Menyentuh mengenai cadangan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, saya yakin dan percaya rakan-rakan ADUN memahami dan bersetuju untuk kita memberikan keutamaan kepada rakyat terlebih dahulu buat masa ini.

"Insya-ALLAH, setelah keadaan ekonomi semakin pulih dan hasil negeri juga meningkat, kerajaan negeri akan mengkaji dan mempertimbangkan cadangan ini," ujarnya.