Maszlee minta kakitangan tangani setiap aduan dengan baik

Maszlee (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian APC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Maszlee (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian APC Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini meminta semua kakitangan kementerian itu untuk memastikan setiap aduan yang diterima, harus ditangani dengan baik bagi membolehkan semua permasalahan itu diselesaikan.

Katanya, semua kakitangan juga perlu menjadi ejen sosial dengan membantu membangunkan masyarakat bagi menjadikan kementerian itu sentiasa cakna dengan hal-hal masyarakat.

"Kementerian Pendidikan harus sama-sama bekerja keras bagi memastikan segala dasar, program dan aktiviti yang dirancang di peringkat kementerian dapat bergerak lancar, sehingga ke peringkat pelaksanaan di bawah.

"Apalah gunanya jika kita merancang pelbagai perkara, namun ia tidak memberikan apa-apa kesan positif kepada kumpulan sasar," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPM Tahun 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.

Maszlee berkata, tema majlis APC tahun ini iaitu ‘Perkhidmatan Cemerlang, Integriti Dijulang’ bertepatan dengan dasar semasa kerajaan yang bukan sahaja menitikberatkan kerja dan perkhidmatan cemerlang, tetapi juga mendaulatkan integriti bagi menghasilkan produktiviti yang ikhlas dan bersih dari sebarang salah laku.

"Salah satu fokus negara adalah memastikan integriti dan elemen pencegahan rasuah menjadi tunjang kepada tadbir urus.

"Oleh itu, dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan khususnya dasar pendidikan negara, setiap individu hendaklah menghayati nilai integriti yang bukan sahaja dapat menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan secara individu, malah turut menjadi kayu ukur kecemerlangan perkhidmatan negara secara keseluruhannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis APC KPM Tahun 2018 meraikan seramai 731 penerima bertujuan mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada warga kementerian terdiri daripada ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta PERMATA yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang selain menjadi ejen penggerak kepada budaya dan penyampaian perkhidmatan secara produktif dan berkualiti. - Bernama