Tengku Zafrul dahului 104 penerima darjah kebesaran Selangor

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) (Darjah Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena menyambut Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balairung Istana Alam Shah Klang hari ini. - Foto Bernama
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menyampaikan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) (Darjah Kelas Pertama) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena menyambut Hari Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Balairung Istana Alam Shah Klang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendahului senarai 104 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ahad.

Tengku Zafrul antara dua penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk Setia.

10 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran-Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk bagi ahli lelaki dan Datin Paduka bagi ahli wanita antaranya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.P.M.S adalah Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman; Penasihat Undang-Undang Selangor, Datuk Salim Soib@ Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Azizul Azmi Adnan.

Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang turut membawa gelaran Datuk bagi ahli lelaki dan Datin Paduka bagi ahli wanita, dikurniakan kepada 11 individu antaranya Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis; Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid dan Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Ramli Mohd Tahir.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima yang tidak membawa apa-apa gelaran antaranya Timbalan Panglima 10 Briged (PARA) Kolonel Khairul Anwar Soib; Pengarah Perancangan dan Pembangunan Markas Tentera Laut, Kepten Jamsari Tahir dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Zalinah Said adalah antara 19 individu terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Johan Tilawah (Qariah) Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) 2022, Sofizah Mousin dan Johan Tilawah (Qariah) MTHQA 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut termasuk antara 17 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S).

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 15 individu dikurniakan Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) manakala tiga pemenang pingat emas Sukan SEA 2022 turut dikurniakan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B. K. S.) iaitu atlet karate, R Sharmendran dan C Shahmalarani serta atlef golf Marcus Lim Pang Chuen.

Tujuh individu turut dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat tersebut dilaksanakan di Istana Alam Syah, Klang dekat sini sekitar jam 8 pagi Ahad. - Bernama