Kemuka langkah komprehensif, bukan sekadar hapus monopoli Bernas

Ahmad
Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Isu keselamatan makanan wajar ditangani secara komprehensif oleh Kerajaan Perpaduan berbanding tindakan populis yang tiada justifikasi kukuh.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, langkah yang diumumkan kerajaan Persekutuan ketika ini berhubung penghapusan monopoli syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam industri padi dan beras negara tidak memadai.

Menurutnya, walaupun cadangan menghapuskan monopoli Bernas telah lama diutarakan, namun kerajaan perlu menyediakan justifikasi dan langkah susulan yang kukuh terhadap keputusan tersebut.

“Isu ini perlukan penelitian lanjut dan tidak sekadar semberono. Ironinya, pengumuman menghapuskan monopoli terpisah daripada perbincangan lain yang mustahak.

“Adakah kerajaan akan buka ruang kepada syarikat swasta lain untuk import beras kerana monopoli tersebut berkait dengan pengimportan beras ke dalam negara.

“Bagaimana kesan dan impak kepada pengusaha beras tempatan yang terpaksa bersaing disebabkan harga beras import lebih murah? Apakah jaringan keselamatan terhadap perkara tersebut?,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Pas Kedah mencadangkan lima perkara sebagai keutamaan kepada kerajaan dalam konteks keselamatan makanan.

“Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) yang menumpukan kepada peningkatan produktiviti serta mobiliti sosial pesawah perlu digiatkan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Pusat juga disaran menyokong usaha Kedah berkaitan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan penghasilan padi, seterusnya menyokong sasaran tahap sara diri (SSL) melebihi 80 peratus menjelang 2030,” katanya.

Ahmad berkata, pada masa sama, tumpuan harus diberikan untuk memerangi kartel padi secara sistematik, telus dan berstrategik selain mengawal rantaian pengeluaran padi dengan lebih efektif.

“Negeri lain boleh mencontohi model asas pelaksanaan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Asnaf yang dilaksanakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

“Kaedah ini bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil padi sehektar, bahkan berjaya memastikan mobiliti sosial pesawah untuk keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Menurutnya lagi, tumpuan juga harus diberikan bagi meremajakan industri padi dan beras negara termasuk penerimaan dalam penggunaan teknologi.

“Bukan hanya hapuskan monopoli Bernas, perlu ada langkah komprehensif untuk jaminan keselamatan makanan, seperti yang digariskan oleh Pas Kedah.

“Bagaimana kerajaan akan kawal import beras bagi memenuhi keperluan dan permintaan? Istilah monopoli sebenarnya diikat dengan obligasi sosial ketat, bahkan kerajaan mengawal sepenuhnya bidang kuasa Bernas ketika ini melalui 'golden share'.

“Adakah syarikat swasta lain turut diikat dengan obligasi sama seperti Bernas,” soalnya lagi.

Ahmad turut melahirkan persoalan berhubung pengawalseliaan terhadap stok penimbal yang disasarkan kepada 290,000 tan metrik kelak.

“Obligasi ini mengikat peranan monopoli import Bernas termasuk dalam klausa pembaharuan konsesi bagi 10 tahun akan datang sehingga 2031,” ujarnya lagi.