27 timbalan menteri angkat sumpah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, pada Sabtu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Timbalan Menteri Persekutuan di Istana Negara, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 27 timbalan menteri pada Sabtu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Kesemua timbalan menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula jam 3 petang.

Dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hadir bersama isteri masing-masing.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang.

Kesemua timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan itu mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu susulan pengumuman senarai timbalan perdana menteri oleh Anwar malam tadi.

Pada istiadat itu, timbalan-timbalan menteri itu dibahagikan kepada empat kumpulan dengan kumpulan pertama dimulai oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong.

Kumpulan itu turut terdiri daripada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang yang dilantik Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Hasbi Habibollah selaku Timbalan Menteri Pengangkutan; Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Datuk Hanifah Hajar Taib sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh timbalan menteri iaitu Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad selaku Timbalan Menteri Kerja Raya.

Turut berada dalam kumpulan yang sama ialah Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamad Yusof Apdal sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup selaku Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Kumpulan ketiga pula diketuai Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Sabu (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) diikuti bekas Ketua Wanita PKR, Senator Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang memegang portfolio Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu adalah Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Naib Presiden PKR, Senator K. Saraswathy (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Luar Negeri) dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Kumpulan terakhir terdiri daripada Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital); Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan); Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas). -Bernama